
KAPTEN Liverpool, Virgil van Dijk mengesahkan komitmennya bersama kelab dan mendedahkan bahawa masa depannya mungkin akan ditentukan dalam tempoh dua bulan akan datang bersama pasukan berkenaan.
Bek Belanda itu kini berada dalam tahun terakhir kontraknya bersama The Reds, bersama dua lagi pemain utama iaitu Mohamed Salah dan Trent Alexander-Arnold, yang masih belum memperbaharui kontrak mereka di Anfield.
Dengan hanya beberapa bulan sebelum tempoh perjanjian tamat, spekulasi mengenai masa depan ketiga-tiga pemain terus menjadi perbualan hangat samada akan kekal menyarung jersi The Reds atau sebaliknya.
BACA LAGI: 'Saya bukan paling teruk', Nunez janji akan 'all out' hingga hari terakhir bersama Liverpool
BACA LAGI: Tanpa berselindung, bekas pengurus Arsenal label Liverpool pasukan terbaik di Eropah
Meskipun ketidakpastian melanda, Liverpool tetap menunjukkan prestasi cemerlang di bawah pengurusan Arne Slot, berjaya mara ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara, ke final Piala Carabao, dan kini mendahului carta Liga Perdana Inggeris (EPL).
Namun, setakat ini, masih belum ada perkembangan konkrit mengenai rundingan kontrak ketiga-tiga pemain tersebut.
Dalam satu temu bual bersama bekas kapten Liverpool iaitu Jamie Redknapp untuk Sky Sports, Van Dijk menegaskan bahawa keutamaannya ketika ini adalah memastikan pasukan meraih kejayaan musim ini.
“Dalam beberapa bulan akan datang kami hanya perlu memberikan segalanya. Kami masih dalam tiga kejohanan dan mahu berjaya dalam kesemuanya. Saya mempunyai rancangan yang sangat, sangat besar untuk perkara itu," katanya.
Van Djik merupakan bek tengah paling menyinar untuk The Reds. — Agensi
Pertahanan tengah berusia 33 tahun itu juga mengakui bahawa perbincangan mengenai kontraknya telah berlangsung sejak sekian lama, namun Van Dijk menekankan kecintaannya terhadap kelab dan penyokong Liverpool.
“Saya tidak boleh bercakap mengenai perbincangan peribadi yang telah berlangsung sejak sekian lama. Saya hanya boleh katakan bahawa saya benar-benar komited kepada kelab ini. Saya sayangkan peminat, saya sayangkan kelab ini," jelasnya.
Bercakap mengenai ketenangannya dalam menghadapi situasi ini, Van Dijk turut berkongsi pengalamannya ketika melihat rakan senegaranya, Georginio Wijnaldum, berdepan situasi serupa sebelum meninggalkan kelab.
“Saya masih ingat ketika Gini berada dalam enam bulan terakhir kontraknya di kelab, saya pernah berkata kepadanya bahawa saya tidak percaya betapa tenangnya dia. Tetapi sekarang, apabila saya sendiri berada dalam situasi ini, saya berada dalam keadaan yang sangat baik, dari segi fizikal dan mental,” tambahnya.
Wijnaldum meninggalkan Liverpool pada 2021. — Agensi
Mengenai masa depannya di Anfield, Van Dijk tidak memberikan jawapan pasti tetapi memberi bayangan bahawa keputusan bakal diumumkan dalam tempoh terdekat.
“Apa yang akan berlaku pada masa depan? Pada ketika ini, saya sendiri tidak tahu. Tetapi saya rasa dalam beberapa bulan akan datang, pasti akan ada maklumat mengenai perkara itu,” katanya.
Dengan tumpuan yang masih terarah kepada kejayaan musim ini, penyokong Liverpool kini menantikan perkembangan lanjut mengenai masa depan kapten mereka di kelab.
Van Dijk juga masih memberi persembahan 100 peratus dengan membantu skuad The Reds menang 2-0 ke atas Mnachester City dalam perlawanan EPL di Stadium Etihad, Manchester, England pada Isnin. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram