'Melaka boleh kembali ke Liga Super, tapi bukan pengganti kelab bermasalah'


  • Podium
  • Isnin, 24 Feb 2025

Terdapat saranan untuk meletakkan skuad Hang Tuah dalam Liga Super selepas bersaing cemerlang dalam Liga A1 Semi Pro musim ini. — Facebook/Melaka FC

KERAIAN Melaka FC yang sah ditabal juara Liga A1 Semi Pro pada Ahad masih diraikan sehingga hari ini selepas bertahun-tahun episod duka dialami kelab berkenaan.

Ini kerana pasukan tersebut memberikan persembahan cukup baik dalam kempen kali ini dengan lapan mata dibezakan berbanding pencabar terdekat, Imigresen FC yang merupakan juara edisi lalu.

Kejayaan dalam pertandingan anjuran Liga Bola Sepak Amateur (AFL) itu sememangnya diraikan sehingga ada yang meletakkan harapan supaya skuad Hang Tuah dapat kembali ke divisyen teratas tanah air.

BACA LAGI: Tidak pernah berdepan isu gaji, Melaka FC 'sign' 2 import bantu kekang serangan Sang Penyu

BACA LAGI: Bukan perli sesiapa, Terengganu-Melaka dilabel 'anak jantan' beraksi dalam hujan lebat

Skuad Sang Kenari dan Tok Gajah disebut-sebut akan meninggalkan Liga Super musim depan. Facebook/KDA FC

Bagaimanapun, keputusan hanya boleh dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) kerana perbincangan terlebih dahulu perlu dilakukan dalam kalangan pihak atasan sebelum sebarang kata putus diberikan.

Kelewatan dalam memberikan sebarang keputusan berhubung perkara itu membuatkan penyokong Melaka FC berang kerana mereka beranggapan badan pengelola itu enggan membenarkan penyertaan pasukan.

Malah, berdasarkan luahan di media sosial, masing-masing berasakan pasukan kendalian K Devan itu sesuai menggantikan pasukan lain yang bermasalah dari segi kewangan.

Tetapi, bagi pengulas bola sepak tempatan, Hanif Miswan, skuad Hang Tuah boleh diserap ke dalam Liga Super, namun bukanlah sebagai pengganti terhadap mana-mana kelab yang bersaing ketika ini.

"Pada saya, untuk mereka dinaikkan ke Liga Super adalah relevan. Cuma, tidak boleh saya katakan mereka akan menggantikan pasukan bermasalah kerana hal sebegini tidak pernah dilakukan liga lain sebelum ini.

Hanif Miswan beranggapan saingan musim ini perlu ditamatkan berdasarkan jadual dikeluarkan. X/Hanif Miswan

"Saya juga melihat liga ketika ini perlu berlangsung dan ditamatkan. Sekiranya ada pasukan bergelut kerana mengalami isu kewangan, MFL sudah ada manual untuk mengambil tindakan dan sebagainya," katanya kepada Majoriti.

Ketika ini, terdapat khabar angin mengatakan kelab Liga Super seperti Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Sri Pahang FC tidak akan bersaing musim depan akibat kemelut kewangan dialami.

Bagaimanapun, hal itu tidak disahkan mana-mana pihak berkuasa dengan ia hanya menjadi spekulasi dalam kalangan penyokong yang beranggapan isu sebegitu tidak boleh lagi berulang.

Pada musim-musim lalu, terdapat juga desakan untuk menaikkan juara Liga A1 Semi Pro, termasuk Imigresen FC dan Harini FT ke Liga Super, namun perkara tersebut tidak dapat pengesahan daripada badan pengelola.

Ini kerana struktur kewangan kelab di bawah AFL tidak cukup meyakinkan dengan kebenaran itu dikhuatiri akan menimbulkan kesan buruk terhadap pihak pengurusan pasukan.

Dalam pada itu, Hanif beranggapan Melaka FC sudah tentu sudah belajar daripada kesilapan lalu untuk mengelak daripada terjerumus ke dalam kemelut kewangan yang pernah berlaku kira-kira tiga musim lalu.

Skuad Hang Tuah bergelut dengan isu kewangan pada 2022. Facebook/Melaka United FC

"Mungkin mereka sudah belajar sesuatu apabila sudah berada dalam Liga A1 Semi Pro dan jangan kita lupa bahawa dalam kejohanan itu juga terdapat isu kewangan dengan beberapa pasukan mengalaminya. Tetapi, saya rasa Melaka FC sendiri sudah belajar daripadanya.

"Saya juga ada terbaca kenyataan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bahawa kerajaan negeri akan memberi sokongan dalam apa jua cara sekali pun namun, kita juga tahu ini adalah musim penswastaan dengan kelab tidak boleh terus berharap dengan dana kerajaan negeri.

"Jadi, apa yang mahu saya tegaskan adalah Melaka FC sudah berpengalaman dan hal itu pasti menyedarkan mereka supaya berbelanja lebih berhemah pada tahun depan," katanya lagi.

Pada saingan Liga Super 2022, mereka yang dikenali sebagai Melaka United mengalami isu pengurusan dan kewangan serius sehingga menyaksikan mereka disekat daripada beraksi pada musim berikutnya.

Bagaimanapun, skuad Hang Tuah masih bernasib baik kerana diberi peluang bersaing dalam Liga M3 2023 dengan ia sedikit sebanyak membantu pasukan tersebut kembali ke landasan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram