Yakin Kedah lebih kuat musim depan di sebalik isu gaji, tak sangka 4 strategi Daud Bakar mula menjadi


  • Podium
  • Selasa, 25 Feb 2025

Skuad Sang Kenari perlu bangkit sekiranya mahu memberi saingan dalam arena bola sepak tanah air hari ini. — Facebook/KDA FC

MASALAH di luar padang dialami Kedah Darul Aman (KDA) FC tidak perlu diceritakan lagi kerana rata-rata peminat bola sepak pasti sudah tahu mengenai kemelut dialami pasukan tersebut.

Berdasarkan ura-ura dikongsikan peminat, isu dialami pasukan tersebut adalah cukup teruk sehingga pemain dan staf kejurulatihan tidak menerima bayaran gaji sehingga 10 bulan.

Namun, hal tersebut enggan disahkan mana-mana individu dalam badan pengurusan kelab yang jelas masih berusaha mencari jalan penyelesaian supaya skuad Sang Kenari dapat beraksi dalam Liga Super 2025/26.

BACA LAGI: 'Tiada istilah meminta-minta, inisiatif Wing Kenari bawa makna tersendiri'

BACA LAGI: 'Turun ke Liga Perdana beri peluang Kedah sembuh'

Masalah kewangan dialami skuad Sang Kenari amat serius ketika ini. Facebook/KDA FC

Malah, pemilik pasukan, Tan Sri Mohd Daud Bakar tampil dengan keyakinan bahawa pihaknya mampu menyelesaikan isu berkenaan musim depan melihat kepada perancangan dilakukan ketika ini.

Dalam satu laporan media tempatan, usahawan tempatan tersebut menegaskan skuad Sang Kenari akan tampil lebih bersemangat bagi kempen akan datang atas kepercayaannya terhadap setiap langkah diambil ketika ini.

Berdasarkan penilaian Majoriti, terdapat empat strategi diterapkan Daud Bakar demi kelancaran KDA FC musim depan dengan ia sedikit sebanyak sudah membuahkan hasil di mata penyokong.

1. Inisiatif keahlian The Wing

Seperti dinyatakan di atas, kegawatan isu kewangan KDA FC adalah amat serius ketika ini sehinggakan kebajikan pemain dan staf kejurulatihan diabaikan sejak permulaan musim 2024/25.

Jadi, dalam usaha menyelesaikan masalah tidak berpenghujung itu, pihak atasan kelab mengambil langkah memperkenalkan inisiatif keahilan The Wing pada awal Februari lalu.

Kad keahlian yang boleh didapati dengan yuran serendah RM10 itu merupakan usaha menarik pelaburan daripada penyokong kerana pihak pengurusan tidak mahu membuka tabung kutipan kepada orang ramai.

Kad keahlian The Wing kini mencecah 10,000 pendaftaran sejak diperkenalkan awal Februari lalu. Facebook/KDA FC

Langkah tersebut jelas membuahkan hasil kerana setakat kira-kira tiga minggu penganjurannya, sudah terdapat 10,000 individu berdaftar dengan ia sudah melangkaui separuh daripada sasaran diletakkan.

Hal itu membuktikan sokongan kukuh akan terus diberikan penyokong Hijau Kuning terhadap pasukan kesayangan tersebut meskipun keadaan skuad Sang Kenari di atas padang masih belum cukup stabil.

Bagaimanapun, pihak pengurusan KDA FC tidak boleh terus mengharapkan ihsan daripada orang ramai untuk menyelesaikan setiap isu kewangan berlaku kerana mereka perlu bersikap proaktif dalam menghalangnya daripada terus berulang.

2. Pelantikan 3 ikon ternama

Jumaat lalu, pasukan Utara tanah air tersebut mengumumkan kehadiran tiga ikon ternama, iaitu Black Hanifah, CEO Batu dan CEO Bieziy dalam usaha menarik lebih ramai ahli The Wing.

Pendekatan diambil itu sememangnya perkara menarik untuk disaksikan kerana CEO Batu dan CEO Bieziy tidak asing dalam dunia bola sepak tempatan kerana masing-masing terlibat bersama PDRM FC sebelum ini.

Tiga individu berpengaruh di media sosial dilantik Kedah sebagai duta pasukan. Facebook/KDA FC

Selain itu, pelantikan Black Hanifah yang merupakan anak jati Baling, Kedah juga satu idea bernas kerana ia membuktikan keterbukaan penduduk asal negeri untuk terus memberi sokongan sebaik mungkin.

Usaha itu boleh diteruskan dengan pihak pengurusan KDA FC boleh mencari lebih ramai individu ternama untuk menyalurkan bantuan menggunakan populariti mereka agar setiap usaha diambil mampu tersebar luas.

Tidak cukup dengan itu, pihak atasan juga boleh mencuba untuk menarik anak jati berjaya yang boleh membuat pelaburan ke dalam pasukan supaya masalah pengurusan tidak lagi berulang.

3. Penstrukturan gaji

Pada tahun-tahun lalu, penyokong sudah berkali-kali mengingatkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) agar memperkenalkan peraturan gaji siling bagi mengelak isu kewangan berulang saban musim.

Bagaimanapun, setakat ini, badan pengelola Liga Super tersebut masih belum mengeluarkan sebarang keputusan dengan ia memberi tanggungjawab penuh buat pihak pengurusan kelab untuk membuat keputusan.

Penurunan gaji pemain boleh mengurangkan beban kewangan pasukan. Facebook/KDA FC

Tetapi, sehingga kini, masing-masing masih belum cakna dalam menguruskan peruntukan sehingga menyaksikan kelab-kelab tanah air, termasuk KDA FC terus terjerumus ke dalam isu tunggakan gaji.

Jadi, dalam usaha mengelakkan perkara itu berulang selepas ini, Daud Bakar menegaskan pihaknya akan menjalankan penilaian semula terhadap struktur gaji pasukan selepas ini.

Langkah tersebut diharapkan dapat membawa impak positif kerana pemain perlu sedar pendapatan bulanan rendah adalah lebih baik berbanding mengalami isu tunggakan berbulan-bulan lamanya.

4. Penaja baharu

Meskipun mengalami masalah pengurusan kronik, kredibiliti serta kebolehan Daud Bakar untuk mencari penaja baharu tidak boleh dinafikan melihat kepada pengalamannya dalam bidang pelaburan.

Ini kerana sebelum ini, KDA FC dilaporkan pernah menerima pelaburan dari Timur Tengah, namun tidak dapat dipastikan sama ada laporan itu adalah tepat atau sebaliknya.

Daud Bakar (kanan) mampu menarik pelabur berpotensi. Facebook/KDA FC

Oleh itu, usahawan kelahiran Kedah itu pasti akan cuba menarik syarikat baharu untuk melabur supaya pihak pengurusan tidak lagi mengalami sebarang masalah kewangan pasukan.

Sekiranya dia dapat menarik mana-mana pelabur berpotensi, KDA FC pasti akan kembali ke landasan, namun sebarang langkah diambil selepas itu tidak boleh diambil mudah.

Persoalannya, dengan situasi dialami pasukan amat gawat ketika ini, adakah terdapat mana-mana entiti tempatan mahupun luar negara yang mahu membuat pelaburan bernilai jutaan ringgit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram