
USAHA menyelamatkan Kedah Darul Aman (KDA) FC diteruskan dengan keputusan pihak pengurusan melantik tiga individu dikenali di media sosial sebagai langkah mempromosikan setiap langkah diambil mereka.
Mereka yang dipilih ialah Hanifah Muhammad Hanafiah atau lebih sinonim dengan gelaran Black Hanifah dengan dia merupakan anak jati negeri Jelapang Padi itu dan amat dikenali selepas bertahun-tahun terpapar di kaca televisyen.
Selain itu, dua orang pempengaruh media sosial iaitu CEO Bieziy yang nama sebenarnya Irshad Shafiq serta Iqbal Mohd Nor atau lebih dikenali sebagai CEO Batu turut dilantik dalam usaha menarik lebih ramai penyokong Hijau Kuning.
BACA LAGI: Beraksi lebih baik, Nelson San Martin janji terus bantu skuad muda Sang Kenari
BACA LAGI: 'Tiada istilah meminta-minta, inisiatif Wing Kenari bawa makna tersendiri'
Kira-kira 10,000 penyokong sudah mendaftar untuk menjadi ahli The Wing. — Facebook/KDA FC
Pelantikan tersebut dibuat susulan keputusan pihak pengurusan KDA FC yang melancarkan inisiatif keahlian The Wing dengan yuran pendaftaran RM10 bagi mengurangkan beban kewangan ditanggung pasukan.
Usaha dilancarkan pada awal Februari itu menyaksikan lebih 10,000 individu sudah tampil menjadi ahli dengan angka tersebut melebihi separuh daripada sasaran diletakkan sebelum ini.
Bagaimanapun, berdasarkan pengiraan semasa, kutipan kelab daripada inisiatif itu baru sahaja mencecah kira-kira RM100,000 yang pastinya masih jauh untuk menyelesaikan isu gaji tertunggak dialami sejak awal musim lalu.
Tetapi, pemilik KDA FC, Tan Sri Mohd Daud Bakar yakin bahawa hasil daripada inisiatif The Wing mampu mengeluarkan skuad Sang Kenari daripada kemelut pengurusan yang terus melanda kelab terbabit.
Daud Bakar yakin dengan perancangan dilakukan demi menyelamatkan kelab Utara tanah air itu. — Facebook/KDA FC
Ini kerana kehadiran ketiga-tiga pempengaruh yang muncul sebagai duta pasukan itu membuahkan keyakinan bahawa lebih ramai penyokong akan tampil menjadi ahli daripada kalangan pengguna media sosial.
"Kami tak habis-habis teruja apabila Black Hanifah, CEO Bieziy dan CEO Batu bersetuju sebagai duta KDA FC. Kami akan percaya, insya-ALLAH Kedah akan dapat terbang tinggi selepas ini. Macam-macam sudah dibuat, tetapi belum diizinkan ALLAH untuk berjaya.
"Kini, kami mahu guna frekuensi tinggi daripada semua duta-duta pasukan untuk cipta gelombang baharu. Ayuh peminat dan penyokong KDA FC, sambutlah seruan ini beramai-ramai. Semoga anda teruja juga dapat membantu kelab anda walaupun dengan hanya RM10," tulisnya di ruangan komen.
Dalam majlis pengenalan duta di ibu negara pada Jumaat lalu, kelab Utara tanah air itu turut mengumumkan syarikat telekomunikasi, BE ONE Network Sdn Bhd sebagai rakan strategik baharu.
Usaha dilancarkan KDA FC menerusi pengenalan keahlian The Wing wajar disokong ramai meskipun terdapat sebilangan penyokong beranggapan langkah tersebut tidak akan membuahkan hasil seperti mana diharapkan.
Bagaimanapun, setakat ini, kejayaan menarik lebih 10,000 penyokong untuk mendaftar membuktikan langkah diambil itu menerima sokongan ramai dengan masing-masing bersemangat untuk membantu skuad Sang Kenari.
Menurut laporan terdahulu, kemelut dialami pasukan kendalian Victor Andrag sudah terlalu serius sehingga menimbulkan kemungkinan mereka akan menarik diri daripada saingan Liga Super musim depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram