Black sanggup tolak tawaran Gergasi Merah demi 'pulihkan' Sang Kenari


  • Podium
  • Selasa, 25 Feb 2025

 Black (kiri) dipilih sebagai duta Kedah Darul Aman FC. — Facebook/KDAFC

KEDAH Darul Aman (KDA) FC baru-baru ini mengumumkan pelan perniagaan kelab itu dengan melantik tiga individu popular di media sosial sebagai langkah promosi.

Mereka yang dipilih ialah dua orang pempengaruh media sosial iaitu CEO Bieziy atau nama sebenarnya Irshad Shafiq serta Iqbal Mohd Nor atau lebih dikenali sebagai CEO Batu bagi membantu menarik lebih banyak penaja.

Seorang lagi dilantik menjadi duta KDA FC ialah Hanifah Muhammad Hanafiah atau lebih sinonim dengan gelaran Black Hanifah dengan dia merupakan anak jati Baling, Kedah yang sudah lama terkenal dalam industri seni.

BACA LAGI: [VIDEO] Masih teruja kehadiran 3 ikon media sosial, Daud Bakar yakin Sang Kenari akan terbang tinggi

BACA LAGI: Beraksi lebih baik, Nelson San Martin janji terus bantu skuad muda Sang Kenari

Meskipun ada penyokong yang memberitahu bahawa pelantikan tiga individu berpengaruh itu seperti tidak menyumbang apa-apa pembaharuan pada kewangan mereka namun Black akan berusaha sedaya upaya untuk membantu Sang Kenari terbang tinggi.

Penyanyi berusia 37 tahun berkenaan memberitahu akan memberikan sepenuh komitmennya untuk KDA FC dan dengan insiaitif yang dilakukannya seperti membuat lagu akan menarik lebih banyak peminat bagi memberi sokongan kepada Kedah. 

"Saya rasa untuk lagu Kedah, memang saya akan buat. Saya penyanyi dan bukan pemain bola. Apa benda yang saya boleh buat untuk naikkan, selain menyanyi. Saya bukan content creator, saya adalah satu nama yang boleh menunjukkan tauladan kepada anak-anak muda.

"Saya tak boleh buat lebih daripada apa yang saya boleh buat. Antaranya ialah saya akan nyanyikan balik lagu Kedah. Saya akan bersama Busy dan Batu untyk membantu Kedah. Masing-masing ada kekuatan untuk membantu Kedah," katanya kepada Majoriti

Khidmat Black bukan sahaja diingini KDA FC, malah Selangor FC juga pernah menawarkan bekas juara rancangan realiti, Mentor musim ketiga itu untuk menyanyikan lagu rasmi Gergasi Merah.

Bagaimanapun, tawaran berkenaan terpaksa diketepikan Black susulan dia sudah menerima lamaran Kedah untuk berkolaborasi bersamanya bagi membantu mempromosi pasukan Utara tanah air berkenaan.

Kedah memperkenalkan rakan strategik dan duta-duta rasmi untuk menarik alat penaja. — Facebook/KDAFC

"Baru-baru ini saya ada jumpa seorang hamba ALLAH, dia memang salah seorang pasukan pemasaran Selangor. Dia ada approach untuk saya nyanyi lagu Selangor. Lepas itu saya cakap lagu apa, untuk lagu pasukan beri semangat pada Selangor.

"Saya tolak cara baik dan minta maaf. Saya cakap sebab saya dah terikat dengan Kedah dan tidak boleh nyanyi lagu lain. Saya cakap tak boleh lah, sebab saya nak beri 100 peratus push Kedah .

"Inisiatif saya untuk buat lagu. Untuk ada lagu pun saya tiada perancangan pun cuma bila dah bersama dan diberi tanggungjawab, saya akan beri 200 peratus komitmen. Saya akan bermati-matian walaupun dia bayar sikit," ujarnya. 

Untuk rekod, dalam majlis pengenalan duta di ibu negara pada Jumaat lalu, Sang Kenari turut mengumumkan syarikat telekomunikasi, BE ONE Network Sdn Bhd sebagai rakan strategik baharu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram