
KEM Kedah Darul Aman (KDA) FC boleh menarik nafas lega selepas desas-desus untuk meninggalkan saingan Liga Super musim depan dinafikan oleh pemilik kelab tersebut.
Pemiliknya, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar menafikan laporan bahawa KDA FC akan 'terkubur' atau turun ke liga lebih bawah musim depan.
Daud Bakar turut mengakui bahawa pasukan yang berpangkalan di Utara tanah air itu berdepan tunggakan gaji hampir 10 bulan.
BACA LAGI: 'Kami diletak sebagai gambar murahan', Kedah nafi tinggalkan Liga Super
Begitu pun, Daud Bakar menjelaskan bahawa pihaknya sedang berusaha untuk menyelesaikan isu berkenaan selain turut membuat bayaran pendahulu bagi membantu pemain menanggung keperluan mereka.
Sehubungan dengan masalah kewangan itu, pemerhati sukan tanah air, Afiq Rowley berpendapat KDA FC sebaiknya mempertimbangkan untuk beraksi di liga bawahan musim depan sebagai jalan penyelesaian sementara.
Afiq mencadangkan agar kelab itu turun ke Liga Premier atau Semi Pro sehingga masalah kewangan mereka dapat diselesaikan dan struktur dalaman kelab diperkukuh.
Kedah memperkenalkan rakan strategik dan duta-duta rasmi untuk menarik alat penaja. — Facebook/KDAFC
"Pandangan saya, ini lebih wajar untuk Kedah turun ke Liga Premier atau Semi Pro sehingga isu kewangan mereka kembali 'sembuh'.
"Setidaknya, yakinkan peminat terlebih dahulu serta kukuhkan kembali struktur dalaman," katanya kepada Majoriti.
Afiq juga mengingatkan bahawa walaupun KDA kekal dalam Liga Super, masalah kewangan mungkin akan terus menghantui kelab tersebut.
Menurutnya, Liga Malaysia (Liga M) sukar untuk menghasilkan keuntungan, terutama bergantung kepada tajaan.
"Kemungkinan akan berulang tu tetap ada, seperti kita ketahui saingan liga kita sukar untuk hasilkan keuntungan daripada pelbagai sudut dengan segalanya lebih berpaksikan kepada tajaan.
"Nasihat saya, turun dan bina kembali lebih baik sehingga keadaan dalaman Sang Kenari kembali meyakinkan," tambahnya.
Milos Gordic antara import yang masih kekal bersama Sang Kenari. — Facebook/KDAFC
Selain itu, Afiq berharap agar pihak yang mempunyai pengaruh di Kedah, termasuk penyokong dan figura terkenal, dapat membantu kelab dengan menarik penaja atau mencipta promosi.
Dia juga mencadangkan agar pemilik kelab tersebut mencari tajaan dari luar negara jika sukar mendapatkan sokongan kewangan di Malaysia.
"Sukar sebenarnya untuk memberikan pandangan sesuai, tetapi buat mereka yang mempunyai pengaruh dan nama di Kedah jika masih sayangkan kelab, sokonglah semampu boleh.
"Jika tidak boleh berbuat demikian, gunakan pengaruh untuk menarik rakan penaja walau kecil atau mencipta promosi kepada pengikut mereka.
"Selain itu, Tan Sri mungkin perlu mendapatkan tajaan dari luar negara jika sukar di Malaysia kerana saya yakin, pengaruh dimiliki beliau tidak mustahil untuk mendekati mana-mana syarikat serba kukuh dari luar negara," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram