Tindakan PDRM FC rehatkan Maniam timbulkan persoalan apa salah dia


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Rabu, 26 Feb 2025

Keputusan pihak pengurusan untuk merehatkan P Maniam menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan peminat bola sepak tanah air. — Facebook/PDRM FC

Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/25.

SYABAS PDRM FC kerana melakukannya sekali lagi. Sama seperti ketika merehatkan Azzmi Aziz selaku ketua jurulatih pada musim 2023 tanpa rasional yang jelas, kini mereka mengulanginya pula ke atas P. Maniam tanpa sebarang penjelasan.

Mungkin berpegang kepada kepercayaan ‘lama-lama ia didiamkan, lambat-laun orang akan lupa’, PDRM FC tidak akan selama-lamanya terlepas dengan cara pengurusan mereka yang jauh daripada boleh disifatkan profesional.

Gara-gara dikenakan hukuman oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjelang aksi final kedua Piala Cabaran pada Sabtu lepas, Maniam – ketua jurulatih yang membawa The Cops ke final itu selain ke tangga kelapan Liga Super ketika ini -- tiba-tiba direhatkan.

BACA LAGI: Piala Cabaran: Jangan ketepikan peluang kami lakukan ‘upset’ — Maniam

BACA LAGI: Ledak hatrik kemudian dibuang padang, P.Maniam akui Ifedayo tak patut dilayangkan kad merah

Mutu kerja Maniam bersama skuad Sang Saka Biru tidak boleh dipandang remeh. Facebook/PDRM FC

Apakah kesalahan dia?

Tiada hebahan rasmi dibuat oleh PDRM FC melainkan perkongsian oleh wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi, menerusi akaun X miliknya bahawa Maniam tidak lagi bertindak sebagai ketua jurulatih dan tugasannya kini digalas penolong ketua jurulatih, Eddy Gapil, hingga akhir musim 2024/2025.

Jawatankuasa Tatatertib FAM mendapati The Cops telah menurunkan pemain tidak berkelayakan -- pemain pertahanan, Safiee Ahmad, dibawa masuk sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua -- dalam aksi final pertama pada 15 Februari lalu yang berkesudahan 3-2 di pihak Selangor FC.

Pemain berusia 27 tahun itu tidak sepatutnya tersenarai dalam aksi berkenaan kerana perlu menjalani penggantungan satu perlawanan kerana sudah mengutip dua kad kuning dalam aksi suku akhir pertama menentang Melaka FC dan aksi separuh akhir kedua berdepan Kedah Darul Aman FC (KDA FC).

Disebabkan itu, PDRM FC dihukum dengan dilucutkan hak perlawanan dan dikira telah tewas dalam aksi final pertama itu dengan keputusan 3-0 selain diarah membayar denda RM3,000. The Cops kemudian tewas 0-4 dalam final kedua yang membawa kepada agregat 0-7.

Tugas pengendali skuad Sang Saka Biru kini dipikul Eddy Gapil. Facebook/PDRM FC

Memberikan reaksinya, pengurus pasukan PDRM FC musim 2023, Mohd Zaffarollah Nordin, menyifatkan keputusan FAM menghukum PDRM FC sebagai memalukan kerana bukannya kelab itu menipu senarai pemain ketika perlawanan, sebaliknya senarai pemain disemak sebaik sahaja pasukan tiba di bilik persalinan.

“Senarai pemain diserahkan kepada MC (komisioner perlawanan) untuk disemak dan telah mendapat kelulusan. Kalau betul (PDRM buat salah), sepatutnya ia dibatalkan sebelum perlawanan.

“MC ke GC (penyelaras am) juga perlu diambil tindakan kerana membenarkan pemain tersebut" kata Zaffarollah di laman media sosialnya sambil menambah ia menjadi amalan lazim untuk Mesyuarat Organisasi Teknikal Perlawanan (OTP) diadakan sebelum perlawanan – bila mana MC akan memaklumkan kepada kedua-dua pasukan membabitkan pemain yang tidak boleh diturunkan kerana digantung.

"Kealpaan dan kelalaian MC perlawanan merosakkan perlawanan akhir kedua (22 Feb). FAM kena akui kelemahan pegawai mereka sendiri, bukan cari kambing hitam," katanya lagi.

Azzmi Aziz turut mengalami nasib sama seperti P Maniam musim lalu. Facebook/PDRM FC

Menyangkal tuduhan itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman, memulangkan kepada PDRM FC sebagai bertanggungjawab dalam memastikan pematuhan kepada peraturan penggantungan pemainnya sendiri sambil mempertahankan bahawa keputusan Jawatankuasa Tatatertib FAM itu telah mematuhi proses yang jelas.

Malah, tambahnya, isu itu hanya dibawa ke pengetahuan FAM selepas aduan dibuat oleh Selangor FC sesudah usainya final pertama itu. Nak kata Selangor FC mencari kemenangan secara tidak ‘gentleman’ tak boleh juga kerana mereka hanya mengikuti peraturan pertandingan.

Lantaklah, itu pertikaian di antara PDRM FC dan FAM tetapi tiada mana-mana disebut apa peranan Maniam dan apa kesalahannya.

Ketua jurulatih bukan bertanggungjawab menyimpan rekod kad kuning pemain-pemainnya – satu amanah yang dipikul oleh pegawai pengurusan kelab atau penolong jurulatih yang ditugaskan.

Jadi, atas alasan apa beliau direhatkan bagi tiada kesalahan yang dilakukannya atau meminjam kata-kata Zaffarollah terhadap FAM, mungkinkah Maniam telah dijadikan kambing hitam?

Hukuman dijatuhkan MFL terhadap PDRM FC atas kesalahan menurunkan pemain yang digantung. Facebook/PDRM FC

Tentunya PDRM FC terhutang penjelasan kepada penyokong The Cops dan peminat bola sepaknya amnya. Apatah lagi sebagai skuad mewakili pasukan berpakaian seragam yang menjaga integriti, kelab itu tidak harus sama-sekali menjalankan urusan hariannya tanpa ketelusan.

Sebagai rekod, Zaffarollah juga adalah pengurus pasukan ketika Azzmi – yang percaturan taktikalnya menyaksikan PDRM FC melakar dua kemenangan mengejutkan, masing-masing 1-0 ke atas Selangor FC pada 3 Jun dan Sabah FC pada 8 Jun 2023 – tiba-tiba direhatkan berkuatkuasa 19 Jun 2023.

Ketika itu, tiada pengumuman rasmi, tiada juga alasan diberi melainkan ia didakwa sebagai sebahagian daripada proses penstrukturan semula pasukan – anehnya selepas mereka melonjak ke tangga kelapan liga dengan menang enam, satu seri dan tujuh kalah untuk menghimpun 19 mata daripada 14 perlawanan.

Dengan merehatkan ketua jurulatih tanpa alasan munasabah, tidakkah mereka terfikir ia merosakkan reputasi Maniam – seorang yang dikenali bekerja keras untuk pasukan, jujur serta dihormati pemain-pemain – yang tentunya berharap untuk mendapat tawaran daripada pasukan lain pada musim baharu bermula Jun nanti.

Kalau bukan kesalahan dia menurunkan Safiee, apakah ia tidak menjadi kesalahan pemain itu yang tidak memaklumkan kepada jurulatih mengenai dua kuning yang telah dikutipnya sebelum itu?

Atau adakah kemungkinan Maniam sanggup merisikokan jawatan dan reputasinya sebagai ketua jurulatih untuk memastikan Piala Cabaran dapat dipertahankan?

Tidak masuk akal – sama seperti keputusan PDRM FC tiba-tiba merehatkannya atas kesalahan atau kecuaian yang nampak jelas seperti dilakukan orang lain. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram