PDRM FC berpesta gol di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Selangor selepas membelasah Kelantan Darul Naim (KDN) FC 5-0 dalam aksi Liga Super 2024 pada Rabu.
Penyerang import The Cops, Ifedayo Olusegun hanya memerlukan lima minit untuk meletakkan skuad kendalian P Maniam di depan hasil rembatan deras dari luar kotak penalti.
Penjaring terbanyak Liga Super 2020 dan 2021 itu terus bertindak cemerlang apabila mencipta hatrik selepas menyumbat dua lagi gol pada minit ke-32 dan m-40.
BACA LAGI: Awas Harimau Malaya, 3 tonggak Singapura bakal menyusahkan sebab ada pengalaman di tanah air
Ketajaman Olusegun (dua kanan) pastinya ditagih oleh PDRM FC untuk membantu The Cops menewaskan Melaka FC saingan MFL Challenge Cup. — Facebook/PDRMFC
Bagaimanapun, kegembiraan Olusegun bertukar mimpi ngeri apabila pengadil perlawanan, Muhammad Munir Mohd Izam melayangkan kad merah pada masa kecederaan babak pertama.
Keputusan itu dilakukan selepas menyemak video bantuan pengadil (VAR) yang menyaksikan penyerang berusia 33 tahun itu dikesan memijak kaki pertahanan lawan.
Berikutan insiden itu, Maniam mengakui bagaimanapun mengakui bahawa tindakan Olusegun tersebut hanyalah sentuhan minimum.
"Bagi saya, itu hanyalah minimum contact tapi pengadil memutuskan ia kad merah, jadi kami terpaksa meneruskan perlawanan dengan 10 pemain," katanya.
Begitupun, Maniam tetap berpuas hati dengan persembahan yang ditampilkan oleh anak-anak buahnya itu menjelang aksi MFL Challenge Cup bertemu Melaka FC pada Sabtu.
"Tetapi secara keseluruhan, saya sangat gembira dengan keputusan menentang Kelantan. Pemain memberikan yang terbaik dan banyak mencipta peluang.
"Kami dapat lihat pemain bermain dengan semangat, itu adalah sesuatu yang saya mahu lihat dalam perlawanan seterusnya," katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram