[VIDEO] Kita ibarat naik Kancil, JDT seperti bawa Ferrari — Yusri Che Lah


  • Podium
  • Selasa, 25 Feb 2025

KEKALAHAN kesembilan Liga Super dialami Perak FC musim ini ketika mereka bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim, Johor untuk bertemu skuad Harimau Selatan pada Isnin.

Meskipun menampilkan aksi agak memuaskan, skuad The Bos Gaurus (TBG) masih tidak dapat menghalang tuan rumah daripada mengutip tiga mata penuh yang sekali gus mengesahkan kejuaraan ke-11 liga buat Johor Darul Ta'zim (JDT).

Namun, pujian masih perlu diberikan kepada Perak atas semangat juang ditonjolkan sehingga hanya membenarkan dua gol dijaringkan skuad Harimau Selatan menerusi Jese Rodriguez dan Jorge Obregon.

BACA LAGI: Yusri Che Lah sudah mampu tersenyum semula hasil ‘hadiah’ daripada KDN FC

BACA LAGI: [VIDEO] Banner 'YCL Out' terpampang di Penang, sudah tiba masa Yusri undur diri?

Skuad TBG sudah mengalami sembilan kekalahan dalam Liga Super musim ini. Facebook/Perak FC

Hal itu turut diakui pengendali kelab Utara tanah air tersebut, Yusri Che Lah yang beranggapan terdapat jurang besar antara kedua-dua pasukan dengan perbezaan terbabit sememangnya diketahui ramai.

"Bagi saya, (kekalahan) itu sudah dijangka. Tetapi, saya ingatkan anak-anak buah saya bahawa kita hanya bawa (Perodua) Kancil sementara JDT gunakan Ferrari. Seandainya kita mahu bersaing dengan Ferrari, sudah tentu Kancil kalah melainkan kita buang tayar mereka.

"Itulah apa boleh saya ibaratkan. Tetapi, apa boleh saya katakan setiap kali kita tewas tipis berdepan JDT, itu adalah satu penghargaan dan harapnya motivasi itu saya tuntut bagi perlawanan seterusnya," katanya dalam sidang media.

Mengikut rekod, jentera serangan skuad Harimau Selatan cukup baik dalam Liga Super 2024/25 kerana mereka sudah mencatatkan 70 gol dalam 20 perlawanan dengan majoriti daripadanya hadir ketika beraksi di laman sendiri.

Malah, berdasarkan pertemuan terakhir antara JDT dan Perak FC di venue berkenaan, skuad TBG yang ketika itu berstatus tuan rumah mengalami kekalahan 0-5, sekali gus membuktikan keputusan pada Isnin sebagai satu penambahbaikan.

Perkara itu turut diakui Yusri yang mengakui kredit perlu diberikan kepada anak-anak buahnya selepas menunjukkan usaha cukup baik dalam memberikan ancaman terhadap pasukan bimbingan Hector Bidoglio.

"Saya berasakan setiap jurulatih akan bersyukur kerana hanya Terengganu FC dan Kuching City FC mengalami kekalahan tipis 1-2. Selebihnya, mereka akan berdepan keputusan lebih teruk.

"Jadi, setiap kali kita beraksi di Stadium Sultan Ibrahim, kita akan cuba untuk mengurangkan defisit jaringan kerana saya tahu Perak adalah pasukan yang kerap bolos dalam Liga Super.

Yusri (kiri) masih memberikan pujian buat anak-anak buahnya meskipun mengalami kekalahan. Facebook/Perak FC

"Oleh itu, bagi pemain, saya mahu ucapkan tahniah kerana walaupun tewas, mereka sepatutnya tidak perlu malu dengan persembahan meskipun kerap diasak sepanjang 90 minit permainan," katanya lagi.

Kekalahan dialami itu menyaksikan Perak FC kekal di tangga keenam, namun peluang masih cerah untuk menamatkan kempen kali ini dalam kelompok lima teratas berdasarkan baki perlawanan.

Selepas ini, skuad TBG akan berdepan Negeri Sembilan FC di Stadium Perak, Ipoh dengan tiga mata penuh akan diharapkan Yusri bagi membolehkan sasaran tersebut dicapai. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram