
PERCIKAN bunga api bakal mewarnai langit Iskandar Puteri sekiranya Johor Darul Ta'zim (JDT) berhasil mendapatkan tiga mata dalam perlawanan Liga Super menentang Perak FC di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada Isnin.
Selepas tidak merekodkan sebarang kekalahan dalam 19 perlawanan Liga Super setakat ini, Harimau Selatan hanya memerlukan satu lagi kemenangan untuk dinobat selaku juara bagi musim 2024/2025.
Perlawanan membabitkan kedua-dua pasukan yang sepatutnya dijadual pada Jumaat ini terpaksa diawalkan bagi memberi laluan kepada JDT membuat persiapan menentang Buriram United dalam saingan 16 terbaik Zon Timur Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Chang Arena, 4 Mac depan.
BACA LAGI: Dah lebih 10 tahun, bekas import Kedah, JDT, Selangor rupanya masih aktif bola sepak
BACA LAGI: Bukan saja Pohang, 3 lagi kelab Korea Selatan alami mimpi ngeri ketika JDT 'sambut tetamu'
Dengan perlawanan penting menentang kelab dari Thailand tersebut, penyokong mengharapkan agar Hector Bidoglio selaku pengendali utama untuk tidak menurunkan pemain-pemain utama untuk kejohanan ACLE.
Sementara penyokong The Bos Gaurus (TBG) pula merayu agar skuad ACLE tidak diturunkan untuk aksi Liga Super pada Isnin bagi mengelakkan daripada pasukan Utara tanah air itu dimalukan dengan kekalahan besar.
"Aku tidak kisah demi jaga momentum berapa nak jaringkan gol, lantak lah. Tapi tolonglah jangan turunkan skuad ACLE tempoh hari dan turunkan sembilan orang sahaja. Kasihan budak-budak Seladang nanti," kata penyokong Perak, Ammar Qalifah.
"Sebagai penyokong JDT kalau boleh malam ini, ramaikan pemain tempatan untuk bagi peluang baiki permainan mereka. Malam ini perlawanan sangat mudah. SR8 (Safiq Rahim) masih padu," tambah penyokong, Zambri Damin.
Skuad ACLE JDT sememangnya menakutkan susulan dibarisi pemain import berpengalaman, gabungan tonggak lokal dan import membantu JDT mencipta kemenangan besar 5-2 menundukkan wakil Korea Selatan, Pohang Steelers FC pada Selasa.
Keputusan berkenaan menyaksikan JDT menamatkan saingan kumpulan Zon Timur pada kedudukan keempat dengan mengumpul 14 mata, selepas merakam empat kemenangan, dua seri dan tewas dua kali. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram