Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/25.
IA hadir sebagai satu malam yang tidak akan luput daripada ingatan penyerang, Clayton da Silva, untuk satu tempoh yang panjang selepas sumbangan empat golnya mengembalikan Perak FC ke landasan kemenangan dengan memperbudakkan Kelantan Darul Naim (KDN) FC 7-0 di Stadium Manjung pada Ahad.
Sebelumnya, jaringan daripada bekas penyerang skuad bawah 23 tahun Brazil itu jarang-jarang dan berjarak antara satu sama lain dengan hanya empat gol mampu dihasilkannya daripada 14 perlawanan liga dia diturunkan.
Tiba-tiba dalam hanya satu perlawanan menentang KDN FC, dia memukau tumpuan dengan empat kali menggoncang jaring pada minit ke-8, 56, 62 dan 90+3. Gol selebihnya datang daripada Luciano Guaycochea, Adilet Kanybekov dan Tommy Mawat Bada.
BACA LAGI: Keputusan ref di Stadium Bandaraya kecewakan Selangor raih 3 mata
Clayton muncul watak wira buat Perak FC apabila meledak empat gol buat Perak FC. — Facebook/Perakfc
Dari saat Clayton menghukum kesilapan hantaran ke belakang Fazrul Amir Zaman untuk dia mudah menewaskan penjaga gol pelawat, Muhammad Alfaiz Zula'amin, untuk gol pertamanya itu, kerapuhan benteng skuad Kijang Emas tidak lagi mampu membendungnya.
Sebelum ini, jaringan daripadanya hadir dalam kemenangan 1-0 ke atas Negeri Sembilan FC (14 Sept), tewas 2-4 kepada Sabah FC (19 Okt), seri 1-1 dengan Kedah Darul Aman FC (4 Dis) dan seri 3-3 dengan Penang FC (12 Januari).
Ketua Jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah, bagaimanapun menghamburkan pujian kepada semua pemainnya di atas kemenangan malam tadi tanpa penghargaan khusus kepada Clayton yang telah melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik.
“Tahniah kepada para pemain kerana mereka saya nampak begitu fokus untuk memberikan kemenangan ini. Itu yang saya inginkan sebelum perlawanan bermula, iaitu kemenangan dan tanpa bolos.
“Hari ini apabila kita menjaringkan jumlah gol yang besar, (perbezaan) jaringan dan bolos kita agak baik. Maksudnya kita telah melebihi jumlah bolos dengan positif satu gol. Itu yang kita tekankan selalunya,” katanya selepas perlawanan.
Yusri Che Lah memuji anak-anak buahnya kerana berjaya meraih tiga mata penuh di laman sendiri. — Facebook/Perakfc
Ditanya apa perbezaannya dengan perlawanan-perlawanan sebelum ini, jurulatih berusia 48 tahun itu menyandarkannya kepada kesungguhan pemain untuk terus membuktikan nilai dan keupayaan mereka ketika musim sudah menghampiri penghujung.
“Tidak ada apa pun yang saya katakan kepada pemain, cumanya kita dah di penghujung liga sebenarnya. Jadi pemain perlulah menggunakan setiap peluang yang ada untuk menaikkan kembali nama mereka seandainya ingin beraksi untuk pasukan Perak untuk musim-musim berikutnya.
“Mereka perlu melakukan yang terbaik dalam baki tujuh perlawanan. Jadi saya rasa itu salah satu perkara yang dilihat oleh pemain untuk beraksi baik. Saya rasa semua ingin mencurahkan segala-galanya pada malam ini,” tambahnya.
Yusri turut bersimpati dengan KDN FC yang dibelenggu masalah tunggakan gaji empat bulan hingga memporak-perandakan pasukan.
Ketajaman Clayton di depan pintu gawang tidak lagi diragui oleh penyokong The Bos Gaurus. — Facebook/Perakfc
Kesemua sembilan pemain importnya sudah meninggalkan pasukan dan terbaharu, ketua jurulatih Park Jae-hong turut menamatkan kontrak atas persetujuan bersama dan sudah pulang ke Korea Selatan minggu lalu.
Pemain-pemain juga hanya menjalani latihan bersendirian dan hanya dihimpunkan sebagai sebuah pasukan sehari sebelum perlawanan.
“Kepada pasukan Kelantan (DN), pemain-pemainnya usah mudah mengalah.
“Pada masa sama, pasukan saya tahu kepincangan yang berlaku dengan pasukan Kelantan (DN) hari ini dan kita menggunakan segala peluang yang dihidangkan walaupun kita seharusnya menghasilkan jaringan daripada tiga atau empat peluang lagi,” tambahnya.
Yusri, dalam melahirkan harapannya pada tahun baharu 2025 sebelum ini, tidak sekadar mahu melihat Perak FC meningkat dari tangga ketujuh liga, malah turut mengelakkan rekod bolos 55 gol ketika menduduki tangga ke-11 pada akhir musim 2023.
Selepas 18 perlawanan musim ini, skuad The Bos Gaurus (TBG) itu baru dibolosi 31 gol di samping boleh bermegah di tangga kelima – peningkatan tiga anak tangga -- dengan himpunan 22 mata.
Barisan pemain Perak FC meraikan kemenangan selepas menundukkan Kelantan Darul Naim. — Facebook/Perakfc
Kemenangan besar pada Ahad juga menamatkan rentetan tujuh perlawanan tanpa kemenangan dalam liga selepas mengalahkan Sri Pahang FC 3-0 di Temerloh pada 28 September lalu.
Sejak itu, mereka tewas 2-4 kepada Sabah FC, seri 2-2 dengan Terengganu FC, seri 1-1 dengan PDRM FC, tewas 0-5 kepada JDT, seri 1-1 dengan KDA FC, tewas 1-2 kepada Selangor FC, dan seri 3-3 dengan Penang FC – hingga sekumpulan penyokong mempamerkan kain rentang tertulis “YCL OUT” di Stadium Bandaraya.
Namun, tujuh gol yang membolosi gawang KDN FC mungkin titik peralihan untuk Perak FC mengharungi baki enam perlawanan liga – berdepan Kuching City FC, JDT, Negeri Sembilan FC, KL City FC dan Sri Pahang FC – berbekalkan lebih sedikit keyakinan.
“Saya harapkan pemain-pemain akan lebih fokus kerana perlawanan-perlawanan selepas ini pasukan lawan akan lebih kuat,” katanya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram