[VIDEO] Banner 'YCL Out' terpampang di Penang, sudah tiba masa Yusri undur diri?


  • Podium
  • Rabu, 15 Jan 2025

Yusri memegang jawatan sebagai pengendali skuad TBG bermula pertengahan musim lalu. — Facebook/Perak FC

PERMULAAN perlahan pada babak pertama menyaksikan skuad The Bos Gaurus (TBG) terpaksa berpuas hati dengan satu mata ketika bertandang ke Stadium Bandaraya, Pulau Pinang untuk aksi Liga Super menentang Penang FC.

Meskipun kesungguhan pemain perlu dipuji selepas bangkit daripada ketinggalan 1-3, keputusan itu masih sukar diterima kerana benteng pertahanan pasukan terlalu mudah ditembusi.

Isu tersebut sememangnya membelenggu Perak FC sepanjang kempen 2024/25 kerana rekod bolos mereka adalah antara yang paling teruk dalam kalangan 13 kelab liga dengan hanya Negeri Sembilan FC dan Kelantan Darul Naim (KDN) melepaskan lebih banyak gol.

BACA LAGI: [VIDEO] Kurang diberi kredit, 3 sebab kenapa fans Perak perlu hargai YCL

BACA LAGI: Hanya sekali menang lawan Pahang, 3 pemain Piala Presiden Perak wajib dipertaruhkan YCL

Jadi, meskipun skuad TBG kini berada di kedudukan kelapan, penyokong mereka beranggapan perubahan perlu dilakukan pihak pengurusan, terutamanya terhadap ketua jurulatih, Yusri Che Lah.

Luahan tersebut sebelum ini kerap dikongsikan di media sosial kerana masing-masing berasakan pendekatan taktikal diterapkan tidak lagi sesuai untuk membawa pasukan Utara tanah air berkenaan ke arah kemajuan.

Namun, dalam aksi di Stadium Bandaraya itu, desakan tersebut dibawa secara lebih jelas apabila sebahagian kumpulan penonton membawa kain rentang berserta tulisan 'YCL Out' untuk menyuarakan pandangan mereka.

Selain itu, terdapat persoalan diajukan kepada pengendali berusia 48 tahun itu mengenai sasaran ditetapkan pihak pengurusan yang mahu sekurang-kurangnya 40 mata diraih dalam Liga Super.

Amaun ditetapkan itu kelihatan semakin mustahil untuk dicapai kerana Perak FC perlu mengumpulkan 21 mata daripada tujuh perlawanan berbaki yang bermakna mereka perlu meraih kemenangan berturut-turut.

473535962_615056637741382_8935164878259376512_n

Skuad TBG membawa pulang satu mata selepas menamatkan perlawanan dengan keputusan 3-3. Facebook/Perak FC

Desakan tersebut bukanlah kali pertama diberikan kerana ketika aksi suku akhir kedua Piala Malaysia, penyokong menyanyikan lagu berunsur sindiran terhadap jurulatih kelahiran Kangar, Perlis itu.

Melihat kepada kesemua tohmahan diterima itu, adalah lebih baik jika Yusri melepaskan jawatannya dan membenarkan pihak pengurusan memberikan kepercayaan kepada mereka yang dipercayai.

Untuk rekod, jurulatih yang pernah mengendalikan Kelantan dan Kuala Lumpur itu memegang peranan pengendali Perak FC bermula pertengahan musim 2023 selepas Datuk Lim Teong Kim digugurkan.

Sepanjang tempoh berkenaan, skuad TBG mengalami isu konsistensi apabila mereka bergelut dalam Liga Super, namun berjaya melayakkan diri ke separuh akhir Piala Malaysia tahun lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram