
BEKAS pemain bola sepak kebangsaan, Ishsam Shahruddin dilaporkan meninggal dunia pada usia 59 tahun selepas dipercayai mengalami serangan jantung dalam kejadian di Stadium Bandaraya, George Town, Pulau Pinang pada Sabtu.
Menerusi hantaran media sosial laman penyokong The Bos Gaurus (TBG), Seladang Fan Club, Ishsam yang juga legenda skuad Seladang itu mewakili Perak untuk perlawanan Empat Penjuru Piala Ketua Menteri Pulau Pinang.
Ishsam yang juga merupakan calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning itu meluangkan masanya untuk mewakili pasukan bekas legenda Perak untuk menentang pasukan Penang, Kedah dan Perlis.
BACA LAGI: 'Kami diletak sebagai gambar murahan', Kedah nafi tinggalkan Liga Super
Difahamkan, Ishsam mewakili legenda Perak bersama beberapa rakan seperjuangannya yang lain seperti Megat Reduan, Thiagarajan Kanna, Shahrul Azwan Mohd Ariffin, Danial Fadzly dan beberapa lagi individu lain.
Allahyarham sempat diberikan rawatan awal di lokasi kejadian berdasarkan gambar tular yang dikongsikan di media sosial.
Difahamkan, bantuan defibrilator luaran automatik (AED) atau peranti perubatan mudah alih digunakan kepada Allahyarham dipercayai bagi membantu individu yang mengalami serangan jantung secara tiba-tiba.
Bagaimanapun, Allahyarham dilaporkan menghembus nafas akhir ketika dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang bagi mendapatkan rawatan.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Rozlita Abdullah dan empat orang anak.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M. Saravanan seperti laporan The Star melahirkan rasa sedih atas kematian Ishsam, dengan menyifatkan ia berita yang mengejutkan.
“Saya kini berada di Tapah dan saya sangat sedih mendengar berita mengejutkan tentang pemergian Ishsam.
"Saya mengucapkan takziah kepada keluarganya dan berharap mereka akan terus kuat," kata Saravanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram