'Jasamu dikenang sepanjang hayat', fans JDT puji Haziq Nadzli selepas sekali lagi sah bergelar juara Liga Super


  • Podium
  • Isnin, 24 Feb 2025

Aksi Haziq ketika bertungkus lumus menjaga gawang gol Perak daripada dibolosi lebih banyak gol. — JDT

PERLAWANAN Liga Super minggu ini pastinya tertumpu kepada aksi antara Johor Darul Ta'zim (JDT) yang melayani kunjungan Perak FC dengan percikan bunga api sah mewarnai langit Iskandar Puteri selepas Harimau Selatan berhasil mendapatkan tiga mata penuh di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Johor pada Isnin.

Selepas tidak merekodkan sebarang kekalahan dalam 19 perlawanan Liga Super setakat ini, Harimau Selatan memerlukan satu lagi kemenangan untuk dinobat selaku juara bagi musim 2024/25.

Perlawanan membabitkan kedua-dua pasukan yang sepatutnya dijadual pada Jumaat terpaksa diawalkan bagi memberi laluan kepada JDT membuat persiapan menentang Buriram United dalam saingan 16 terbaik Zon Timur Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Chang Arena, Thailand 4 Mac depan.

BACA LAGI: [VIDEO] Media Belanda cadang Ferdy Druijf sertai FC Groningen

BACA LAGI: Ikut jejak Akhyar Rashid, khabarnya Haziq Nadzli tinggalkan JDT lebih awal

Dalam perlawanan itu, anak-anak buah Hector Bidalgio terpaksa berhempas pulas untuk menjaringkan gol selepas beberapa asakan Harimau Selatan berjaya dikekang rapi oleh pertahanan Perak.

Pemain pinjaman JDT, Haziq Nadzli juga beraksi baik menjaga gawang gol Perak dengan menepis beberapa percubaan daripada barisan serangan Harimau Selatan yang diketuai Jorge Obregon.

Selepas buntu menjaringkan gol sepanjang 45 minit, Arif Aiman Hanapi menerusi gerakannya berjaya menembusi benteng pertahanan Perak dari belah kiri yang membolehkan Jese Rodriguez menjaringkan gol sebelum wisel penamat ditiupkan.

Melihat keadaan itu, penyokong Perak tidak gemar dengan corak permainan ditampilkan anak-anak buah Yusri Che Lah apabila lebih memilih untuk bertahan.

"Pertahanan Perak main teruk, pergi bagi dekat belakang ingat main dengan Kelantan ke? Hantar bola pun teruk, pertahanan Perak dengan Azfar Fikri kena tukar," kata Aus Ain.

"Main dah bertahan, kesilapan Afif (Asyraf) itu punca, dia pula main nak under ke belakang. Dari awal permainan dah nampak Afif tak dapat kalahkan Arif Aiman," ujar Aiman.

"Bek kiri memang punca buat kesilapan 'simple' sahaja," luah Kings Reds.

Tamat separuh masa pertama, JDT mendahului Perak dengan keputusan 1-0 hasil jaringan Jese.

Bersambung babak kedua perlawanan, JDT terus menunjukkan kualiti mereka selaku penyandang juara Liga Super apabila tidak memberi peluang buat Perak untuk mendominasi perlawanan.

Pada minit ke-64, JDT terus mengandakan jaringan selepas Obregon mudah menyempurnakan penalti selepas bola terkena tangan Ariff Ar-Rasyid.

JDT juga memberikan peluang buat beberapa pemain seperti Safiq Rahim untuk beraksi dalam malam kegemilangan Harimau Selatan untuk dinobatkan sebagai juara Liga Super musim ini.

Meskipun Perak memilih untuk main bertahan sepanjang perlawanan ia tidak menghalang Harimau Selatan untuk mengutip tiga mata penuh sekali gus dinobatkan sebagai juara Liga Super buat kali ke-11

Keputusan kekal 2-0 sehingga wisel penamat dengan JDT berjaya menjuarai Liga Super 2024/25.

Dalam pada itu, penyokong JDT juga sempat mengucapkan terima kasih kepada Haziq atas jasanya bersama Harimau Selatan selama ini.

Penyokong JDT juga sempat memuji persembahan tangkas Haziq berhadapan bekas rakan sepasukannya.

"Banyak kerja bertungkus lumus, bermandi peluh Haziq malam ini, berhadapan bekas sepasukannya. Jasamu selama di JDT sebelum ini tetap dikenang sepanjang hayat," ujar Muntaha Hamdan.

"Cristian Abad siap bancuh kopi dekat belakang tiang gol, kesian Haziq kerja keras dia malam ini," komen Rafi Omar.

"Haziq 'power' betul, inilah hasil dari JDT dulu kan?" soal Anie Suryani.

Dengan JDT sudah sah bergelar juara, kini tumpuan terarah kepada Selangor FC dan Sabah FC untuk merebut tempat kedua Liga Super. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram