'No Ronnie no party', liatnya nak tembus pintu gol Kedah, ketiadaan Fernandez jelas sukarkan Selangor


  • Podium
  • Sabtu, 02 Nov 2024

Ketiadaan Ronnie Fernandez menyukarkan Selangor berpesta gol ketika bertemu Kedah dalam aksi Liga Super pada Sabtu.

SELANGOR FC dilihat sebagai pasukan pilihan apabila berdepan Kedah Darul Aman FC dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada Sabtu.

Walaupun begitu, jangkaan itu tidak berjaya dihidupkan oleh Selangor pada separuh masa pertama apabila gagal menembusi pintu gol Kedah.

Mereka terpaksa menunggu separuh masa kedua untuk membolehkan jaringan terhasil sekali gus mendapatkan kemenangan 1-0.

BACA LAGI: Nidzam Jamil letak jawatan, DNA Korea jadi pilihan Selangor FC?

BACA LAGI: Maaf Sabah, ada 3 sebab slot ACL2 masih kekal milik Selangor musim depan

Ketumpulan serangan Selangor dilihat ketara apabila Abdi Hassan meletakkan trio Ali Olwan, Mukhairi Ajmal dan Faisal Halim untuk menembusi gawang Kedah dijaga oleh Ifwat Akmal.

Malah, Selangor terpaksa mengharapkan Izwan Yuslan yang menggantikan Faisal untuk mendapatkan gol di separuh masa kedua bagi meletakkan Gergasi Merah di depan.

Dari sudut Kedah pula, mereka tidak berjaya untuk memberi saingan buat Selangor dengan ketumpulan serangan serta lemahnya kreativiti sewaktu mencari ruang menjadi isu buat skuad Nafuzi Zain.

Perkara itu menyebabkan Kedah gagal untuk memberikan saingan sekali gus melepaskan peluang mendapatkan kemenangan di laman sendiri.

Melihat kepada isu serangan Selangor, situasi tersebut membuatkan penyokong Gergasi Merah mempersoalkan di manakah penyerang utama iaitu Ronnie Fernandez?

Hal ini kerana, namanya tidak diturunkan bertemu Kedah serta pada perlawanan lalu ketika berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT).

"Ronnie cedera ke? Lawan JDT pun tak main," soal penyokong bernama Mohd Izzuddin.

"No Ronnie no party," komen Al Azhar Cairo pula.

"Penyerang tidur ke?" perli Muhammad Sad. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram