
SELANGOR FC berjaya menamatkan penantian selama sedekad tanpa sebarang trofi selepas menjuarai kejohanan Piala Cabaran 2024/25 apabila mudah menewaskan PDRM FC dengan keputusan 7-0 secara agregat di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 22 Februari lalu.
Skuad kendalian Katsuhito Kinoshi memanfaatkan peluang kesilapan teknikal PDRM FC dalam aksi final pertama yang membolehkan Selangor menang percuma 3-0 selepas perlawanan itu dibatalkan.
Meskipun mendahului PDRM FC dengan keputusan 3-0, anak-anak buah Kinoshi kekal semangat untuk terus menjaringkan empat gol menerusi Ronnie Fernandez, Ali Olwan dan Yohandry Orozco (dua gol).
BACA LAGI: Bersama JDT, duo bintang Selangor pernah julang Piala Cabaran sebelum sertai Gergasi Merah
BACA LAGI: Kejayaan JDT jadi faktor utama penetapan tarikh final Piala Malaysia
Namun begitu, kejayaan Selangor dalam menjulang Piala Cabaran itu mendapat sindiran daripada segelintir peminat-peminat bola sepak tempatan.
Ini kerana peminat berpendapat Piala Cabaran ialah kejohanan bagi pasukan-pasukan lemah selepas tersingkar daripada saingan Piala Malaysia 2024/25.
Namun dalam kritikan itu, adakah anda tahu empat nama besar pernah menjulang Piala Cabaran sebelum dirampas oleh Selangor musim ini.
Majoriti senaraikan empat 'big name' pernah julang Piala Cabaran:
Ghaddar antara pemain import paling digeruni dalam sejarah Liga Malaysia. — JDT
1. Mohamad Ghaddar
Mesti anda tidak percaya legenda TRW Kelantan itu pernah menjuarai Piala Cabaran semasa kariernya masih aktif.
Ya! Ghaddar pernah menjulang Piala Cabaran 2019 ketika menyarung jersi Johor Darul Ta'zim II (JDT II) yang mana dia juga merupakan penyerang utama dalam perlawanan akhir kejohanan itu.
Bersama JDT II, Ghaddar menjaringkan tujuh gol dalam 15 penampilan Liga Perdana dan membantu skuad simpanan Harimau Selatan menjuarai Piala Cabaran 2019 sebelum bersara pada 2022.
Kiko (tengah) meraikan kemenangan JDT II dalam kejuaraan Piala Cabaran 2019. — JDT
2. Kiko Insa
Bekas pemain kebangsaan, Kiko Insa juga pernah tersenarai antara nama besar yang menjulang Piala Cabaran semasa tempoh kariernya.
Bekas pertahanan warisan Sepanyol-Malaysia itu menjulang Piala Cabaran bersama JDT II pada 2019.
Untuk rekod, selain JDT II, Kiko pernah beraksi bersama Sri Pahang pada 2017 sebelum menyertai Harimau Selatan pada 2018.
Bruno merupakan penjaring terbanyak Piala Cabaran 2018. — Terengganu FC
3. Bruno Suzuki
Walaupun tewas untuk edisi kali ini bersama PDRM FC, Bruno Suzuki antara nama besar yang sudah menjulang trofi itu sebanyak dua kali.
Kali pertama Bruno mejulang Piala Cabaran bersama Terengganu FC II yang mana dia juga dinobatkan sebagai penjaring terbanyak kejohanan pada 2018.
Pemain berusia 35 tahun itu satu-satunya import yang menjulang Piala Cabaran sebanyak dua kali.
Darren menampilkan aksi sempurna apabila digandingkan bersama Gaddar di JDT II. — JDT
4. Darren Lok
Siapa tidak kenal dengan penyerang kebangsaan, Darren Lok selepas dia cemerlang bersama Harimau Malaya setiap kali diberikan kepercayaan untuk turun beraksi.
Darren mengikuti jejak langkah Ghaddar dan Kiko yang menjuarai Piala Cabaran bersama JDT II pada 2019.
Untuk rekod, Darren merupakan gandingan utama Ghaddar di JDT II sambil disokong oleh Nico Fernandez di barisan tengah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram