
SUDAH jatuh ditimpa tangga boleh menjadi perumpaan sesuai untuk menggambarkan keadaan Sabah FC kini yang dilaporkan kehilangan khidmat bek tengah import mereka, Haris Stamboulidis.
Sebelum ini, pasukan Borneo tanah air itu terpaksa akur menerima berita kehilangan dua tonggak import iaitu Joao Pedro dan Gabriel Peres hingga menyaksikan Sang Badak turun tanpa kelibat mereka di saingan Liga Super.
Pedro sebelumya dilaporkan berhijrah ke Ho Chi Minh City secara pinjaman meskipun pihak pengurusan The Rhinos sudah berusaha memujuk pemain yang tiba ke tanah air pada jendela perpindahan kedua musim 2024/2025 itu.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Darren Lok keseorangan', kehilangan 2 peledak Brazil gusarkan fans Sabah FC
BACA LAGI: Import Selangor, Kedah, Sabah hilang sengat lepas tinggalkan Liga M
Manakala, Peres yang sememangnya memainkan peranan besar dalam pertahanan skuad kendalian Martin Stano itu pula dilaporkan terpaksa berehat panjang susulan mengalami kecederaan lutut.
Terbaharu, Haris pula menjadi pemain ketiga tidak dapat meneruskan membantu Sabah menghabiskan musim ini selepas dia dilaporkan mengalami kecederaan patah tulang rahang berikutan berlanggar dengan Saddil Ramdani.
Perkembangan terbaharu itu dikongsikan oleh pemerhati sukan tanah air iaitu Fina Nasrom, yang memberitahu bahawa insiden menimpa bek berusia 28 tahun itu berlaku ketika sesi latihan pada Isnin.
"Pertahanan Sabah FC, Haris Stamboulidis patah tulang rahang ekoran perlanggaran dengan Saddil Ramdani ketika sesi latihan pada Isnin. Keadaan itu memaksa Stamboulidis melupakan sepenuhnya saingan liga yang masih berbaki musim ini," katanya pada laman X.
Pertahanan Sabah FC, Haris Stamboulidis patah tulang rahang ekoran perlanggaran dengan Saddil Ramdani ketika sesi latihan pada Isnin.
Keadaan itu memaksa Stamboulidis melupakan sepenuhnya saingan liga yang masih berbaki musim ini. pic.twitter.com/2BKIzntHcI
— FinaNasrom (@fnasrom) February 25, 2025
Situasi berkenaan pasti menyebabkan Stano selaku pengendali Sabah FC berada dalam keadaan tidak menentu dek perlu memikirkan siapa pemain sesuai untuk menjadi gandingan Dominic Tan di bahagian bek tengah.
Jika dilihat dalam senarai pemain pertahanan Sabah FC, bek tengah berpengalaman iaitu Rawilson Batuil boleh menggalas tanggungjawab berkenaan susulan pemain berusia 30 tahun itu memang diharapkan jika mendapat kepercayaan pengendali.
Perlawanan berdepan Selangor FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya, Selangor pada 27 Februari boleh menyaksikan Rawilson dan Dominic berganding untuk menjaga pertahanan Sang Badak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram