Hafizul Hawari dihukum penjara lebih 14 tahun, sebat selepas mengaku bersalah tembak isteri di KLIA


Hafizul Hawari mengaku bersalah terhadap tujuh pertuduhan termasuk memiliki senjata api di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan pada Selasa.

PENGURUS agensi pelancongan dijatuhkan hukuman penjara 14 tahun enam bulan dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan pada Selasa selepas mengaku bersalah terhadap tujuh pertuduhan termasuk memiliki senjata api.

Hakim Zulkifli Abllah menjatuhkan hukuman itu terhadap Hafizul Hawari, 38, yang mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan berkenaan.

Ketika menjatuhkan hukuman itu, Zulkifli berkata, mahkamah mengambil kira fakta kes dan tahap serius kesalahan yang dilakukan.

BACA LAGI: CEO Alef Aeronautics dedah faktor keselamatan antara punca tidak kongsi video kereta terbang pertama berlepas dengan selamat

BACA LAGI: [VIDEO] Padah lempar kabel internet dari bawah, 2 juruteknik Indonesia rentung berpelukan terkena renjatan elektrik

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan enam sebatan bagi pertuduhan pertama memiliki senjata api jenis pistol jenis Glock 19 Austria.

Dia dijatuhi hukuman penjara tiga tahun setiap satu bagi pertuduhan kedua dan ketiga, kerana memiliki 33 butir peluru PMC 380 AUTO tanpa lesen dan bungkusan plastik berisi mercun berbentuk bola tanpa permit.

Bagi pertuduhan keempat hingga keenam, atas kesalahan memiliki tiga kad pengenalan milik tiga individu masing-masing berusia 29, 34 dan 35 tahun, Hafizul dijatuhkan hukuman penjara enam bulan bagi setiap pertuduhan.

Hakim Zulkifli menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan bagi pertuduhan ketujuh, dirangka mengikut Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan memandu kereta berwarna putih dengan nombor pendaftaran palsu.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di dalam sebuah kereta di perkarangan sebuah hospital swasta di Kota Bharu pukul 2 petang, 15 April tahun lepas.

Bagaimanapun, Hafizul hanya akan menjalani hukuman penjara enam tahun kerana hakim memerintahkan dia menjalani hukuman penjara itu serentak dari tarikh dia ditangkap iaitu 15 April tahun lalu.

Terdahulu, semasa mitigasi, peguam Hafizul, Nik Mohd Faris Syazwan Zainuzzaman memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya memohon maaf atas kesalahan yang dilakukan.

Hafizul menghadapi dua lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Sepang.

Pada 25 April tahun lepas, dia didakwa cuba membunuh isterinya, Farah Md Isa, 38, di Dewan Ketibaan Antarabangsa Aras 3, Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), Sepang, Selangor.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 1.09 pagi pada 14 April 2024.

Hafizul juga didakwa secara sukarela menyebabkan kecederaan parah terhadap pengawal peribadi isterinya, Mohd Nur Hadith Zaini, 38, dengan menggunakan senjata api di tempat, tarikh dan masa yang sama.  — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp