
SABAH FC sekali lagi terpaksa berkongsi mata apabila sekadar seri 1-1 bertemu Kuala Lumpur City FC dalam aksi Liga Super 2024 yang berlangsung di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada Jumaat.
Pada Ahad minggu lalu, Sang Badak juga seri 2-2 bertemu Sri Pahang FC di gelanggang sendiri sekali gus memberi gambaran prestasi tuan rumah semakin kurang memberangsangkan sejak kebelakangan ini.
Dalam aksi yang berlangsung di Likas, Sabah bermula dengan baik apabila mendahului aksi babak pertama selepas tandukan S Kumaahran berhasil menembusi gawang The City Boys.
BACA LAGI: MFL perlu pulih kepercayaan ramai, lantik CEO ikut reputasi dan pengalaman — Zulakbal
Namun, kealpaan benteng pertahanan The Rhinos memakan diri apabila KL City akhirnya berjaya menyamakan kedudukan melalui penyerangnya, Haqimi Azim Rosli pada minit ke-80.
Susulan keputusan seri itu, ramai penyokong setia Sang Badak berasa kasihan melihat Darren Lok terpaksa beraksi sebagai satu-satunya penyerang dalam usaha membantu pasukan mencetak gol.
Kehilangan dua peledak berbisa Brazil, Ramon Machado dan Joao Pedro menyebabkan Darren berjuang sendirian sekali gus menyaksikan serangan Sabah semakin tumpul.
"Bila lah Sabah ini dapat penyerang yang mantap sikit, kesian Darren Lok, sengsara betul sendirian, betul-betul tumpul bila tiada Ramon dan Joao Pedro, harap kekal Top 3 sampai habis liga," kata Roy Femilyronny.
"Gameplay Sabah sudah cantik tapi kurang tajam, tiada Ramon dan Joao Pedro terus susah cari gol," kata Freddy Disuk.
"Nampaklah Darren Lok ini berjuang sendirian, kesian juga tengok Sabah masih tumpul," kata Ronald. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram