Terengganu FC ‘upgrade’ fasiliti padang latihan, benarkan pemain berlatih waktu malam


  • Podium
  • Selasa, 25 Feb 2025

Hishamuddin memantau proses pemasangan lampu limpah di padang latihan Terengganu. — Hishamuddin

TERENGGANU FC bakal mendapat tonik baharu menjelang saingan liga musim depan apabila pihak pengurusan menambahbaik fasiliti di padang latihan Sang Penyu itu.

Fasiliti yang dimaksudkan itu ialah lampu limpah sekali gus memberikan peluang buat pemain-pemain Terengganu berlatih di sebelah malam.

Perkara itu dikongsikan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim dalam laman Facebook peribadinya pada Isnin (24 Februari).

BACA LAGI: Seri atau kalah, Selangor tetap pilihan naib juara Liga Super — Irfan Bakti

BACA LAGI: Lepas 6 tahun kemarau piala, Jese Rodriguez akhirnya rangkul trofi pertama di Asia bersama JDT

Menurut Hishamuddin, usaha itu dilakukan bagi membenarkan pemain Terengganu berlatih pada waktu malam ketika musim panas.

"Usai merasmikan Kursus Kejurulatihan Kecergasan AFC Tahap 2A di Ar-Riyadah Residence kelmarin (Ahad), saya bersama Pengarah MSNT dan Ketua Pegawai Operasi TFC menjenguk kerja-kerja pemasangan tiang lampu limpah di Padang C.

"Padang C merupakan padang latihan buat pasukan utama Terengganu FC. Usaha pemasangan lampu limpah ini dibuat secara dalaman untuk memastikan ruang latihan dapat dilaksanakan pada waktu malam khususnya waktu musim panas. Begitu juga untuk penggunaan di bulan Ramadan. Untuk Ramadan kali ini, belum dapat digunakan sepenuhnya.

"Sementara itu, lampu limpah juga akan dipasang di Padang Sintetik Kompleks Sukan Gong Badak untuk menghidupkan suasana aktiviti di kawasan kompleks sukan di waktu malam.

"Insya-ALLAH, pelan-pelan kayuh demi pembangunan aktiviti sukan bola sepak Negeri Terengganu," katanya dalam Facebook.

Sebelum ini, Terengganu juga menaik taraf fasiliti pusat latihan dengan menggunakan konsep rumah kontena yang lebih menjimatkan kos sesuai dengan kemampuan kewangan mereka.

Fasiliti itu termasuk ruang rehat pemain, bilik staf kejurulatihan, ruang latihan ringan serta surau dan tandas untuk kegunaan pasukan ketika sesi latihan.

Binaan kontena menjadi pilihan alternatif bagi pasukan yang tidak mampu membeli atau membina sebuah bangunan kekal kerana ia menggunakan bahan binaan yang kukuh serta direka untuk tahan lasak sesuai dengan pelbagai keadaan cuaca. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram