PERUBAHAN demi perubahan sedang berlaku di Manchester United dalam usaha kelab England itu kembali berada dalam landasan, baik dari segi persembahan di atas padang mahupun dari segi pengurusan.
Kehadiran usahawan ternama, Sir Jim Ratcliffe pada Februari tahun ini boleh dikatakan titik permulaan terhadap usaha itu selepas mereka bertahun-tahun bergelut dari segi kewangan.
Namun, di sebalik perubahan berkenaan, terselit beberapa kisah kurang enak didengari kerana terdapat laporan mengatakan individu terkaya di Great Britian tersebut mula mengecilkan perbelanjaan kelab.
BACA LAGI: Kerana Jim Ratcliffe, Man United mungkin tak main UCL musim depan
BACA LAGI: Lebih berminat ke Man City padam hasrat Ratcliffe bawa bintang Perancis ke Old Trafford
Bonus pemain The Red Devils sudah dikurangkan sejak kehadiran Sir Jim Ratcliffe. — Agensi
Tindakan sedemikian sememangnya wajar dipuji kerana sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Manchester United sering melakukan pelaburan merugikan sehingga mengganggu status pasukan.
Bagaimanapun, usahanya itu mula dikatakan tidak masuk akal kerana pada Oktober lalu, laporan mengatakan juara 13 kali Liga Perdana Inggeris (EPL) tersebut tidak akan menganjurkan sambutan Hari Natal dalam usaha memotong kos tahunan.
Keputusan itu menerima respons kurang enak daripada penyokong yang beranggapan tindakan Ratcliffe akan memberi kesan terhadap semangat pemain serta staf pasukan.
Persoalan berkenaan jelas diendahkan kerana baru-baru ini, pihak pengurusan Manchester United mengumumkan bonus perayaan buat kakitangan kelab juga akan dikurangkan.
Manchester United tidak akan menganjurkan sambutan Hari Natal tahun ini. — Agensi
Sebelum ini, staf pasukan akan diberikan bonus £100 (RM564.72) seorang demi sambutan perayaan itu, namun ia digantikan dengan baucar £40 (RM225.89) untuk jenama pakaian Mark & Spencer.
Keputusan itu terus membuatkan reputasi Ratcliffe terus terjejas meskipun dia baru sahaja membuat pelaburan £1.3 bilion (RM7.3 bilion) bagi membolehkannya memegang 27.7 peratus saham kelab.
Ini kerana masing-masing beranggapan pemotongan sedemikian akan terus berlaku dengan staf turut menjadi mangsa selepas bonus kepada pemain juga sudah dikurangkan beberapa peratus sejak kehadirannya.
Usaha itu dibuat selepas Manchester United menanggung kerugian £312.9 juta (RM1.7 bilion) sebelum cukai dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini dengan jumlah itu menyebabkan mereka berdepan kesukaran untuk mematuhi Peraturan Keuntungan dan Kestabilan (PSR) EPL. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram