PENYOKONG Manchester United sudah tidak sabar, mereka enggan lagi kelab mereka dikuasai oleh The Glazers dan mahukan pemilik baharu membeli The Red Devils.
Sebelum ini, hartawan Qatar iaitu Sheikh Jassim hampir mendapatkan United namun usaha itu dipatahkan oleh Glazers yang meletakkan harga tinggi. Sedangkan, Jassim bersedia membeli pegangan penuh terhadap kelab tersebut.
Glazers dijangka akan kekal memiliki United walaupun terdapat pemilik baharu iaitu hartawan United Kingdom, Sir Jim Ratcliffe.
Ratcliffe yang sebelum ini bersaing dengan Jassim untuk mendapatkan United akan tetap menyertai kelab tersebut namun sebagai pemilik saham minoriti sahaja.
Ia mungkin akan berikan nafas baharu untuk United. Namun begitu, kelab tersebut bakal berdepan kesukaran sekiranya Ratcliffe sah menjadi pemilik saham minoriti.
Ratcliffe turut memiliki kelab Perancis iaitu Nice. — Agensi
Satu kesan nyata jika Ratcliffe menyertai United adalah kelab itu akan dinafikan hak untuk beraksi dalam saingan UEFA Champions League (UCL) walaupun layak.
Hal ini kerana, Ratcliffe mempunyai pemilikan terhadap kelab Perancis iaitu Nice. Tapi apa kaitannya?
Menurut peraturan UEFA, mereka melarang dua kelab yang dimiliki pemilik sama beraksi dalam satu pertandingan serentak. Situasi ini akan berlaku sekiranya United dan Nice kedua-duanya layak ke UCL musim depan.
Untuk rekod, Nice kini berada di kedudukan kedua Ligue 1 manakala United pula menghuni tangga keenam English Premier League (EPL).
Bagi memastikan kedua-dua kelab dapat beraksi di UCL musim depan, salah satu kelab perlu menamatkan saingan liga dalam zon UCL. Sementara satu lagi kelab perlu duduk dalam zon UEFA Europa Conference League (UECL).
Akan tetapi, kalau kedua-dua kelab menamatkan liga dalam zon UCL, pasukan yang menduduki tangga lebih tinggi akan layak. Sementara bagi kelab yang kedudukannya lebih rendah akan dihalang daripada menyertai UCL.
Andaikan Nice dan United menamatkan saingan liga masing-masing dalam zon UCL dan kedudukan yang sama, maka United akan layak kerana faktor kouta pasukan dari England.
Sebagai rekod, England boleh menghantar lima pasukan ke UCL musim 2024/2025 sementara Perancis mempunyai kouta 3+1.
Situasi ini nyata rumit jika ia benar-benar terjadi dan United adalah mangsanya. Di saat Ratcliffe dilihat sebagai wira oleh penyokong United, dia boleh menjadi punca kenapa kelab itu terpaksa bermain bola pada Jumaat. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram