Belum pernah julang piala, bek Sang Penyu tak putus harapan


  • Podium
  • Isnin, 24 Feb 2025

Skuad Sang Penyu mengalami tiga episod kedukaan dalam kejohanan peringkat domestik dan Asia Tenggara. — Facebook/Terengganu FC

MESKIPUN berstatus pencabar serius tiga musim kebelakangan ini, Terengganu FC masih belum bernasib baik untuk menjulang sebarang kejuaraan, baik di peringkat domestik mahupun Asia.

Penyingkiran di peringkat separuh akhir Piala FA dan Piala Malaysia musim ini adalah sesuatu yang pahit untuk ditelan kerana mereka bertemu Selangor FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam kedua-dua kejohanan itu.

Lebih menyakitkan lagi, skuad Sang Penyu turut mengalami nasib malang dalam kempen Piala Shopee apabila gagal meloloskan diri ke pusingan kalah mati setelah hanya menamatkan saingan peringkat kumpulan di tangga keempat.

BACA LAGI: Mungkin hilang khidmat bintang JDT-Selangor, 'Apai Sarawakian', 'game-changer Sabah' boleh dipanggil ke Piala Asean

BACA LAGI: Nijey jual ikan segar demi keluarga, bukan sekadar hobi selain bola sepak

Kali terakhir skuad Sang Penyu menjulang trofi adalah lebih 10 tahun lalu.

Episod duka dalam ketiga-tiga kejohanan itu menyaksikan kemarau kejuaraan Terengganu FC berterusan untuk tahun ke-14 selepas kali terakhir mendakap trofi adalah ketika saingan Piala FA 2011.

Penantian untuk bergelar juara itu menyebabkan sebilangan pemain senior Sang Penyu turut mengalami nasib sama dengan ada daripada mereka tidak pernah merasai kejayaan sedemikian di atas padang.

Salah seorang daripadanya adalah tonggak dalam barisan pertahanan, Shahrul Nizam Ros Hasni yang setia bersama kelab Pantai Timur itu sejak lima tahun lalu dengan beberapa siri kekecewaan sudah ditempuhi.

"Kalau tanya pemain, sudah pasti mereka mahukan piala. Tetapi, bagi saya, umur sudah cecah 27 tahun, satu piala pun belum diraih. Insya-ALLAH, kalau ada rezeki, saya memang nak piala," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.

Jelas pemain pertahanan tersebut, fokusnya kini bersama skuad Sang Penyu sambil meluahkan keterbukaannya untuk kekal sehingga khidmatnya masih diperlukan pasukan.

Shahrul Nizam terus beraksi cemerlang dalam musim kelimanya bersama skuad Sang Penyu. Facebook/Terengganu FC

Malah, ketika ditanya mengenai keterbukaan untuk beraksi di luar Pantai Timur, Shahrul Nizam beranggapan perpindahan itu sukar baginya kerana dia serta keluarganya sudah selesa di bumi Darul Iman.

"Setakat ini, saya berpuas hati beraksi bersama Terengganu FC. Saya berterima kasih kepada barisan kejurulatihan kerana beri saya peluang beraksi. Kepada semua peminat dan staf yang beri kepercayaan buat saya, akan saya balas jasa anda semua," katanya.

Sebelum beraksi buat skuad Sang Penyu, pemain yang turut dikenali sebagai Nijey itu terlebih dahulu bermain buat Kelantan, termasuk dalam skuad Bawah 21 Tahun (B-21) negeri selama setahun bermula 2016.

Kehadirannya dalam Terengganu FC hari ini terus diraikan memandangkan dia sudah diturunkan sebanyak 28 kali dalam semua pertandingan bagi kempen kali ini dengan satu gol berjaya dicatatkan.

Dari segi pertahanan pula, khidmat Shahrul Nizam amat diperlukan kerana selepas 19 perlawanan, pasukan kendalian Badrul Afzan Razali hanya dibolosi 21 kali dengan hanya JDT dan Selangor FC memiliki rekod lebih baik dalam Liga Super. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp