
KEKERASAN dilakukan rejim Zionis terhadap penduduk Palestin sejak bertahun-tahun lalu terus mewujudkan kesedaran orang ramai terhadap sikap tidak berperikemanusiaan negara haram Israel.
Pandangan itu jelas merebak sehingga ke negara Barat apabila kutukan terhadap rejim tersebut berterusan, termasuk dalam kalangan peminat bola sepak yang mahu mewujudkan kesedaran.
Selain mengibarkan bendera Palestin di stadium, sesetengah penyokong bertindak menghasilkan kain rentang berserta mesej sebagai tanda solidariti dengan penduduk yang terjejas dengan serangan tersebut.
BACA LAGI: [VIDEO] 25 termasuk 9 ahli keluarga maut kena serangan udara Zionis di Lubnan
BACA LAGI: [VIDEO] Rejim Zionis tanpa rasa bersalah muat naik video pengeboman Rafah
Kempen memboikot Israel daripada arena bola sepak tersebar meluas di Eropah.
Meskipun tahu tindakan boleh dikenakan pihak berkuasa, ia tidak menghalang usaha tersebut dengan ada pula yang mencipta tifo untuk mengutuk tindakan rejim Zionis itu.
Kempen kesedaran sedemikian turut dicontohi peminat bola sepak dalam negara apabila baru-baru ini, penyokong Terengganu FC mengambil insiatif itu sebelum aksi Liga Super menentang Kuala Lumpur (KL) City FC di laman sendiri.
Tifo yang dicipta kumpulan penyokong ultras itu memaparkan seseorang memegang kad merah dengan kibaran bendera Palestin berserta mesej 'Tunjukkan kad merah kepada Israel'.
Usaha tersebut wajar dipuji kerana ia menceritakan usaha peminat sukan untuk terus mewujudkan kesedaran terhadap orang ramai mengenai sikap tidak berperikemanusiaan dilakukan tentera Israel.
Inisiatif diambil penyokong skuad Sang Penyu itu jelas menerima pujian ramai, termasuk daripada wartawan The Athletics yang berpangkalan di London, England, Leyla Hamed yang jelas mengagumi tifo dihasilkan tersebut.
Penyokong Selangor menghasilkan tifo bersolidariti ketika aksi final Piala FA 2024.
"Penyokong pasukan dari Malaysia, Terengganu FC memaparkan tifo yang cukup megah dalam usaha membangkang penyertaan Israel dalam bola sepak. Sejak Oktober 2023, seramai 380 individu, termasuk 69 kanak-kanak terdiri daripada pemain, jurulatih dan pegawai terbunuh di Gaza," tulisnya di platform X.
Usaha sedemikian bukanlah hal baharu dalam arena bola sepak tempatan kerana kumpulan ultras Selangor FC turut memaparkan tifo sebegitu sebelum perlawanan akhir Piala FA 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Di Eropah pula, peminat dua kelab Scotland, Celtic dan Hibernian juga pernah mencipta tifo sebagai tanda solidariti dengan ia sekali gus membuktikan kesedaran sudah semakin melebar hingga ke negara Barat.
Ini kerana sukan bola sepak mempunyai liputan meluas dalam kalangan peminat antarabangsa, sekali gus menjadikannya platform terbaik untuk menyuarakan pandangan mengenai konflik terbabit. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram