
SEJAK dilantik pada Ogos 2023, impak dibawa Aidil Sharin Sahak bersama Kuching City FC amat ketara apabila pasukan tersebut mula digeruni tidak sampai dua musim beraksi dalam Liga Super.
Kesan utama dapat disaksikan apabila dia berjaya membawa kelab Borneo tanah air itu ke pentas akhir MFL Challenge Cup musim lalu, namun tewas kepada juara, PDRM FC.
Kecemerlangan itu diteruskan dalam kempen kali ini apabila skuad The Cats menduduki tangga kelima Liga Super selepas 18 perlawanan dengan peluang masih dimiliki untuk menembusi kelompok tiga teratas.
BACA LAGI: Lupakan cerita di Bandaraya, Aidil Sharin mahu The Cats fokus aksi bertemu Sang Penyu
BACA LAGI: Tuah atau sial jadual beri tekanan kepada Kuching City FC kekalkan sasaran top 6
Aidil Sharin (kiri) membantu Kedah menjuarai Piala FA 2019.
Prestasi memberangsangkan ditampilkan Kuching City FC sememangnya harus dipuji dengan kredit penuh perlu diberikan kepada Aidil Sharin yang pasti akan terus bercita-cita besar bersama pasukan berkenaan.
Bagaimanapun, sentuhan dibawa jurulatih kelahiran Singapura itu semakin disedari kelab-kelab lain dalam Liga Super yang berminat dengan kebolehannya membawa perubahan besar dalam tempoh singkat.
Jadi, tidak hairanlah apabila baru-baru ini, timbul khabar angin mengatakan terdapat pasukan tempatan membuat tawaran dengan hal tersebut disahkan Aidil Sharin sendiri.
Menurutnya, tawaran itu diterima bagi musim akan datang, namun dia menegaskan tumpuannya ketika ini diberikan penuh terhadap skuad The Cats memasuki penghujung saingan Liga Super 2024/25.
Penjelasan diberikan selepas aksi menentang Terengganu FC di tempat lawan itu bagaimanapun tidak disusuli dengan pendedahan mengenai pasukan manakah yang berminat dengan khidmatnya.
Tetapi, bagi penyokong, terdapat beberapa kelab yang berkemungkinan, terutamanya dua kelab di Lembah Klang iaitu Selangor FC dan Kuala Lumpur (KL) City FC.
Impak dibawa Kinoshi masih belum mencukupi berdasarkan segelintir penyokong Gergasi Merah. — Facebook/Selangor FC
"KL City," kata Ahmad Ramdzam, ringkas.
"Selangor mungkin. Kalau lihat rekod Aidil Sharin, dia boleh bawa piala dan Selangor juga mahukan piala. Adakah ini relevan?" soal Malik Kadir.
KL City FC sudah pasti mahu membawa masuk seorang ketua jurulatih berkaliber kerana pengendali semasa, Miroslav Kuljanac tidak menerapkan gaya permainan menarik berdasarkan luahan penyokong.
Sementara itu, bagi Selangor FC pula, kejayaan Katsuhito Kinoshi dalam MFL Challenge Cup bukanlah tiket untuknya terus mengendalikan pasukan tersebut kerana mereka memerlukan seorang lebih berkeyakinan bagi kempen akan datang.
Pengalaman jurulatih berusia 47 tahun itu sememangnya luas kerana sebelum mengendalikan Kuching City FC, dia pernah membawa impak besar bersama Kedah FA dengan menjuarai Piala FA 2019.
Selain itu, Aidil Sharin juga pernah menimba pengetahuan di dua kelab lain sekitar Asia Tenggara, iaitu Lion City Sailors di Singapura serta pasukan Indonesia, Persikabo 1973. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram