SEJAK melakukan debut buat skuad Sang Penyu pada 2021, Shahrul Nizam Ros Hasni terus menjadi nadi utama benteng pertahanan buat kelab yang berpangkalan di Pantai Timur itu.
Kecemerlangannya dalam mengekang pemain lawan menjadikannya cukup penting buat pasukan berkenaan meskipun barisan kejurulatihan dan import baharu saling bertukar-ganti.
Kelibatnya bukan sahaja digemari pihak pengurusan Terengganu FC kerana penyokong juga amat menggemari karakter bek tengah kelahiran Bachok, Kelantan berkenaan, baik di dalam mahupun di luar padang.
BACA LAGI: Sepakan deras Stefano bikin Nijey terduduk, Tok Gajah-Sang Penyu sama-sama padu
BACA LAGI: Debut ditunggu-tunggu, bek campuran Indonesia bakal beri saingan kepada Safwan-Nijey
Shahrul Nizam sudah merekodkan 104 penampilan buat skuad Sang Penyu. — Facebook/Terengganu FC
Ini kerana Shahrul Nizam yang juga sapa dengan panggilan Nijey mempunyai hobi amat sinonim dengan penduduk sekitar Pantai Timur, iaitu memancing serta menjalankan perniagaan kecil-kecilan.
Menurutnya, perusahaan itu dibangunkan bertujuan sebagai punca pendapatan buat keluarganya memandangkan gerai penjualan hidupan laut segar tersebut menjadi sumber rezeki adik-beradiknya.
"Saya sendiri pun sebelum bergelar pemain bola sepak sebenarnya nelayan kerana itu adalah pekerjaan bapa saya. Jadi, saya sejak kecil lagi sudah rajin untuk turun ke laut.
"Keistimewaan gerai saya ialah ikan dijual semuanya segar-segar dengan pelbagai pilihan tersedia dengan ikan selayang dan ketam merupakan antara yang sering awal habis terjual," katanya kepada MFL.
Meskipun tidak pernah membawa pulang sebarang trofi, Shahrul Nizam pernah membantu skuad Sang Penyu muncul naib juara Liga Super dua musim lalu selain melangkah ke pentas akhir Piala FA dan Piala Malaysia.
Perniagaan Shahrul Nizam disokong peminat setia skuad Sang Penyu. — Facebook/Hishamuddin Abdul Karim
Selain itu, sumbangannya berjaya membantu kelab terbabit layak ke Piala AFC 2023 dengan mereka tidak mengalami sebarang kekalahan, namun gagal layak ke peringkat kalah mati.
Bagaimanapun, pemain berusia 26 tahun berkenaan masih menunggu peluang dipanggil ke dalam skuad kebangsaan kerana dia kerap diletakkan dalam senarai bersedia setakat ini.
Mengulas lanjut, pemain itu mengatakan gerainya sering dibanjiri peminat tegar skuad Sang Penyu yang tidak mahu ketinggalan peluang memberi sokongan kepada perniagaannya.
"Ramai penyokong Terengganu FC datang dan membeli ikan di kedai saya, boleh dikatakan hampir hari-hari. Kalau saya berada di kedai, mereka pasti akan bersembang mengenai bola sepak, tetapi itu semua hal biasa," katanya lagi.
Lokasi gerai berhampiran dengan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu juga boleh dikatakan sebagai sebuah lagi faktor utama kedainya sering dihadiri mereka yang amat menggemari skuad Sang Penyu.
Meskipun sibuk dengan perusahaannya itu, dia masih tidak melupakan peranannya di atas padang kerana pemain berkenaan tidak pernah terpalit dengan isu disiplin, lebih-lebih lagi berhubung pengurusan masa.
Shahrul Nizam sudah merekodkan 104 penampilan secara keseluruhan buat skuad Sang Penyu dengan usianya yang masih muda membolehkannya diturunkan lebih kerap buat pasukannya dalam tahun-tahun akan datang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram