[VIDEO] Demi Harimau Malaya, 3 pemain import baharu musim 2024/25 Liga M wajar kekal jadi prospek jangka panjang


  • Podium
  • Sabtu, 28 Dis 2024

Michael antara pemain import muda yang menyerlah di Liga A1 Semi-Pro musim ini. — Imigresen FC

LAMBAKAN pemain-pemain naturalisasi dalam skuad kebangsaan bagai memberikan nafas baharu dalam Harimau Malaya selepas layak ke Piala Asia 2023 secara merit.

Sejak 2018, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah memberikan lesen kepada lapan pemain import untuk menyarung jersi Harimau Malaya selepas mereka telah beraksi sekian lama dalam Liga Malaysia.

Bermula dengan Mohamadou Sumareh (Gambia), FAM turut menaturalisasikan Guilherme de Paula (Brazil) dan Liridon Krasniqi (Kosovo) untuk memperkuatkan Harimau Malaya.

BACA LAGI: 'Bukan doktor yang tiada pencapaian', TMJ beri nafas baharu dalam sistem perubatan Harimau Malaya

BACA LAGI: [VIDEO] Gagal cari makan di Malaysia, 3 pemain warisan termasuk Curran Ferns terpaksa balik kampung dengan 'tangan kosong'

Selepas hanya Sumareh yang boleh dianggap berjaya menembusi skuad kebangsaan, FAM terus mempercayai bakat naturalisasi dengan menyenaraikan Lee Tuck (England), Sergio Aguero (Argentina), Paulo Josue dan Endrick dos Santos (Brazil).

Bermula tahun depan Harimau Malaya dikhabarkan bakal diperkuatkan dengan kehadiran dua pemain baharu iaitu Bergson da Silva (Brazil) dan Manuel Hidalgo (Argentina) seperti didedahkan oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim baru-baru ini.

Selain itu ada beberapa nama juga dikaitkan akan menyertai Harimau Malaya selepas lengkap lima tahun beraksi dalam Liga Super iaitu Giancarlo Gallifuoco (Australia), Alex Agyarkwa (Ghana) dan Rafael Vitor (Penang).

Kehadiran pemain import baharu dalam Liga Super, Majoriti senaraikan tiga nama boleh ikut jejak langkah bintang naturalisasi untuk memperkuatkan Harimau Malaya:

1. Jovan Motika (Bosnia-Herzegovina)

Pemain yang pernah membuatkan Selangor FC kempunan tiga mata dalam aksi derbi Lembah Klang musim ini pastinya boleh menjadi calon baharu naturalisasi Harimau Malaya.

Jovan Motika musim ini telah diberikan kepercayaan oleh pengendali Kuala Lumpur City (KL) City FC, Miroslav Kuljanac untuk beraksi dalam kesemua 14 perlawanan Liga Super.

Pemain berusia 26 tahun itu hanya menjaringkan empat gol dalam 14 perlawanan terakhir The City Boys.

Namun gerakan lincah di sayap kanan pasukan mampu membuatkan benteng pertahanan lawan ketakutan dengan kehadirannya.

Selepas lima tahun di Malaysia, usia Motika masih dianggap relevan iaitu 31 tahun dengan pengalaman bersama skuad muda Bosnia.

2. Thankgod Michael Oghwiche (Nigeria)

Walaupun tidak beraksi dalam Liga Super, Thankgod Michael antara pemain import muda yang menyerlah di Liga A1 Semi-Pro (Liga M3) musim ini.

Berusia 21 tahun musim ini, Michael telah menjaringkan 16 gol dalam Liga A1 Semi-Pro setakat 15 Disember lalu bersama Imigresen FC.

Jikalau Michael kekal beraksi dalam Liga Malaysia untuk lima tahun, pemain kelahiran Nigeria itu akan mencecah 26 tahun dan boleh menjadi projek masa jangka panjang Harimau Malaya.

3. Joao Pedro (Brazil)

Kekecewaan jelas dialami penyokong Sabah FC selepas pihak pengurusan mengumumkan penyerang kelahiran Brazil, Ramon Machado meninggalkan kelab itu selepas kira-kira semusim menabur bakti.

Pemain import yang dikenali dengan sikap rajin di atas padang itu boleh dilabel sebagai tonggak serangan skuad Sang Badak, termasuk ketika mereka berentap dalam Piala AFC 2023/24.

Mengisi kekosongan ditinggalkannya, skuad Sang Badak membawa masuk seorang lagi import dari Brazil, Joao Pedro yang sebelum ini beraksi di Vietnam bersama Viettel FC.

Keputusan itu pada awalnya kurang mencuri hati penyokong kerana pemain berusia 24 tahun terbabit hanya merekodkan tiga gol sepanjang karier di Vietnam dengan catatan berkenaan amat dikhuatiri tidak membuahkan hasil yang diharapkan.

Bagaimanapun, selepas diturunkan sebanyak enam kali, dia sudah berjaya menepis pandangan serong itu kerana sudah mencatatkan enam jaringan yang memacu Sabah ke kedudukan ketiga Liga Super.

Pulangan itu menyaksikan penyokong mula meletakkan kepercayaan penuh buat Joao Pedro dengan harapan dia dapat membantu mereka merebut slot ke Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two musim depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram