[VIDEO] 25 termasuk 9 ahli keluarga maut kena serangan udara Zionis di Lubnan


  • Benua
  • Jumaat, 27 Sep 2024

Beberapa bandar utama sekitar Lubnan sudah menjadi mangsa sejak serangan udara dilancarkan rejim Zionis di negara itu. — Agensi

SERANGAN ketenteraan dilakukan rejim Zionis ke atas Lubnan sejak beberapa bulan lalu menyaksikan negara Timur Tengah itu berdepan konflik kemanusiaan paling teruk dialami mereka.

Serangan udara menerusi bedilan roket tidak henti-henti dilaporkan sudah meragut kira-kira 700 nyawa sejak Isnin dengan majoriti daripada mereka yang terkorban merupakan kanak-kanak.

Malah, lebih mendukacitakan lagi, laporan Al Jazeera mengesahkan 25 penduduk Lubnan sudah meninggal dunia sejak awal pagi Jumaat berdasarkan kenyataan dikeluarkan Menteri Kesihatan Lubnan, Firas Abaid.

BACA LAGI: [VIDEO] Hezbollah lancar lebih 100 roket, tembusi pertahanan udara Israel

BACA LAGI: [VIDEO] Tentera Israel serang lebih 1,100 sasaran Hezbollah, angka korban meningkat cecah 500 orang

Antara menjadi mangsa merupakan sebuah keluarga terdiri daripada sembilan orang yang difahamkan berada di daerah Bekaa ketika serangan udara itu dilancarkan negara haram Israel.

Laporan berkenaan pasti memberikan kesan mendalam terhadap orang ramai seluruh dunia dengan masing-masing tidak henti-henti mengutuk sikap tidak berhati perut daripada rejim Zionis.

Manakan tidak, ada dalam kalangan mereka yang menjadi mangsa serangan itu ialah warga emas serta kanak-kanak tidak bersalah, namun tidak berdaya menyelamatkan diri sendiri.

Berdasarkan laporan agensi media antarabangsa, Nabatieh yang terletak 70 kilometer daripada ibu negara, Beirut menjadi sasaran tentera rejim Israel pada Jumaat.

Sebelum ini, terdapat usaha untuk melakukan gencatan senjata antara Lubnan dan negara haram berkenaan, namun situasi tegang menyukarkan lagi hasrat tersebut.

Perkara itu turut disuarakan dalam perjumpaan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) dengan majoriti daripada ahli persatuan itu mula menyedari tindakan terkutuk rejim Zionis. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram