
SELANGOR FC mengakui kehilangan kapten mereka, Safuwan Baharuddin, dalam perlawanan akhir kedua Piala Cabaran menentang PDRM FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya, Selangor pada Sabtu merupakan satu cabaran besar.
Bagaimanapun, jurulatih, Katsuhito Kinoshi yakin pasukannya mampu mengatasi ketiadaan pemain berpengalaman itu dengan memberi peluang kepada pemain lain untuk tampil sebagai pemimpin di atas padang.
Bek tengah dari Singapura itu digantung selepas menerima kad merah dalam kemenangan 3-2 Selangor pada perlawanan pertama yang berlangsung di venue sama pada 15 Februari lalu.
BACA LAGI: MFL perlu pulih kepercayaan ramai, lantik CEO ikut reputasi dan pengalaman — Zulakbal
Bagi mengisi kekosongan kepimpinan, Kinoshi memberi bayangan bahawa pemain tengah muda, Nooa Laine, mungkin akan diberikan tanggungjawab sebagai kapten pasukan.
Kehadiran pemain kebangsaan Malaysia kelahiran Finland berkenaan dalam sidang media pra-perlawanan pada Jumaat memperkuatkan spekulasi tersebut.
“Saya masih belum memutuskan siapa yang akan menjadi kapten, tetapi Nooa adalah salah satu calon utama. Dia berkemungkinan besar akan mengisi tempat Safuwan sama ada di posisi pertahanan tengah atau tengah bertahan,” kata Kinoshi.
Pada masa sama, jurulatih dari Jepun itu mengingatkan semua pemain agar meningkatkan prestasi mereka dalam perlawanan getir ini.
“Kami terpaksa beraksi dengan 10 pemain selama 80 minit dalam perlawanan pertama selepas Safuwan dibuang padang. Kali ini, saya berharap semua pemain dapat menamatkan perlawanan tanpa insiden yang sama dan mengelak daripada masa tambahan atau penentuan penalti,” tambahnya.
Sementara itu, Nooa mengakui bersedia memikul tanggungjawab sebagai kapten jika diberikan kepercayaan oleh jurulatih.
“Menjadi kapten memang memberi tekanan tambahan, tetapi saya melihatnya sebagai satu penghormatan jika dipilih untuk memimpin pasukan,” kata pemain berusia 22 tahun itu yang telah membuat 30 penampilan bersama Selangor musim ini.
Selangor kini berdepan cabaran getir dalam usaha memastikan kejuaraan Piala Cabaran menjadi milik mereka, dengan harapan semua pemain dapat memberikan persembahan terbaik mereka pada malam ini. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram