[VIDEO] 'Masih belum move on', Arif Aiman gula-gulakan kiper antara 3 momen terbaik disajikan JDT di SSI


  • Podium
  • Jumaat, 21 Feb 2025

Aksi di SSI menyaksikan skuad Harimau Selatan berjaya menewaskan Pohang Steelers dan menempah tiket ke pusingan 16 ACLE.

SEBAIK sahaja pengadil perlawanan meniup wisel panjang, kedengaran sorakan bergema di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor menandakan Johor Darul Ta'zim (JDT) mara ke pusingan 16 saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).

Skuad kendalian Hector Bidoglio itu berhasil menyingkirkan Pohang Steelers dengan keputusan 5-2 yang masing-masing dicetak oleh Oscar Arribas, Bergson da Silva, Arif Aiman Hanapi, Jese Rodriguez dan Jorge Obregon.

Manakala, dua gol wakil Korea Selatan itu dijaringkan oleh Lee Ho-jae dan Kang Hyeon-je.

BACA LAGI: Pernah beraksi di Timur Tengah, 3 'free agent' termasuk 'kereta kebal' Al-Tai FC wajar dipertimbang JDT

BACA LAGI: JDT lebur rekod buruk, tundukkan Pohang demi aksi lebih mudah di pusingan ke-16 ACLE

Kemenangan di gelanggang sendiri pastinya memberikan kegembiraan kepada penyokong Harimau Selatan kerana pasukan kesayangan mereka kini melangkah ke pusingan kalah mati bertemu Gwangju FC.

Bagaimanapun, dalam perkembangan terbaru, penarikan diri Shandong Taishan menyaksikan JDT membuat perhitungan aksi pusingan 16 bertemu Buriram United selepas menghuni tangga ketiga ACLE.

Jadi, di sebalik kemenangan itu, ramai penyokong JDT pasti sukar untuk melupakan tiga momen melibatkan pasukan tuan rumah yang disajikan di SSI.

1. Arif Aiman gula-gulakan kiper

Pemain sayap JDT, Arif Aiman berjaya mencuri tumpuan penyokong tanah air apabila menempah nama selaku penjaring buat JDT di pentas Asia.

Pemain muda berusia 22 tahun itu kini mengumpul lima gol dan dua bantuan jaringan daripada lapan perlawanan ACLE, kurang satu jaringan di belakang legenda Portugal, Cristiano Ronaldo.

Manisnya aksi terakhir Kumpulan A itu, Arif sekali lagi menjadi buah mulut peminat apabila mudah memperdayakan penjaga gol lawan, Yun Pyeong-gook pada minit ke-56.

Kelicikan Arif memperdayakan penjaga gol itu mendapat pujian penyokong kerana tidak terburu-buru dalam melakukan percubaan ke pintu gawang pelawat meskipun mempunyai peluang untuk membuat rembatan.

Pada babak kedua aksi di SSI, Pyeong-gook melakukan satu hantaran lemah sebelum disambar oleh Arif yang sempat melakukan acahan untuk satu jaringan berkualiti. 

2. Dua gol JDT dibatalkan

Dalam perlawanan yang penuh dramatik di SSI, JDT terpaksa berputih mata apabila dua gol mereka dibatalkan oleh pengadil, Adham Makhadmeh. 

Gol pertama yang disudahkan dengan baik oleh penyerang Brazil, Bergson tidak dikira apabila jaringan ketiga yang sepatutnya untuk JDT dibatalkan selepas dia didapati berada dalam kedudukan ofsaid.

Selain itu, walaupun pemain gantian babak kedua, Heberty Fernandes menjaringkan gol pada minit kecederaan, jaringan tersebut juga dibatalkan selepas pengadil dari Jordan itu merujuk kepada semakan video bantuan pengadil (VAR).

VAR mengesan Heberty mengasari penjaga gol Pohang Steelers, Pyeong-gook ketika cuba merebut bola daripada tangan penjaga gol Korea Selatan tersebut meskipun bola tidak ditangkap dengan kemas.

3. Penalti minit akhir

Siapa sangka, di saat-saat terakhir menjelang puncak kemenangan, JDT diberikan peluang emas apabila pengadil memberikan sepakan penalti pada minit-minit akhir perlawanan di SSI. 

Tidak cukup dengan empat gol, skuad Harimau Selatan terus mengaum apabila pemain gantian, Jorge Obregon berjaya menyempurnakan sepakan penalti untuk memastikan kemenangan berharga buat pasukannya.

Kekurangan ketajaman penyudah sebelum ini menjadi kekesalan namun jaringan Obregon di penghujung perlawanan berjaya mengubati kekecewaan penyokong JDT.

Sebelum ini, Obregon sering dikritik oleh peminat yang merasakan kualiti penyerang kelahiran Colombia itu belum dapat menandingi penyerang import sedia ada, Bergson meskipun usianya lebih muda berbanding bekas penjaring terbanyak Liga Super 2022 tersebut.

Secara keseluruhan, Obregon kini mencatatkan enam gol dan dua assist dalam 19 penampilan bersama JDT dalam semua kejohanan domestik dan antarabangsa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, Instagram dan Telegram