'Kami diletak sebagai gambar murahan', Kedah nafi tinggalkan Liga Super


  • Podium
  • Jumaat, 21 Feb 2025

Kedah memperkenalkan rakan strategik dan duta-duta rasmi untuk menarik alat penaja.

KEDAH Darul Aman FC (KDA FC) menafikan skuad Sang Kenari bakal meninggalkan saingan Liga Super susulan masalah kewangan yang membelenggu pasukan berkenaan sejak tahun lepas.

Isu yang mengkhuatirkan rata-rata penyokong itu dijelaskan pemilik KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar yang berharap agar pihak tertentu agar tidak menyebarkan perkara tidak sahih.

BACA LAGI: Tiga kelab Liga Super hampir 'bungkus' musim depan, pemain diarah cari kelab baharu

BACA LAGI: Masih 'hijau' di era profesional, kelab Liga Super mesti dibantu elak terus hadapi masalah kewangan

"Kami agak popular dalam tiga ke empat minggu lepas. Kami jadi antara pasukan yang keluar dalam hiasan. Benda ini tidak adil. Kedah dianggap sebagai gambar hiasan yang murahan kerana dikatakan tiga pasukan yang akan tinggalkan Liga Super. 

"Apakah perasan pemain, pegawai dan juga penaja. Saya rasa benda itu tak sah dan tak solid (kukuh), jadi tak perlulah diwar-warkan hingga peringkat menjatuhkan moral dan jiwa perjuangan bola sepak ini," katanya. 

Mohd Daud ditemui pada majlis pengumuman rakan strategik dan majlis pengistiharaan duta-duta KDA FC pada Jumaat di  sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Pemilik KDA FC, Mohd Daud.

Khabar angin itu juga disangkal oleh pemangku Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Shahrul Samsudin apabila menegaskan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) selaku pengelola domestik tidak pernah mengesahkan kemunculan kembali Liga Perdana. 

"Saya ingin bertanya, adakah MFL telah mengumumkan akan ada Liga Perdana (peringkat kedua)? Mereka tidak pun mengesahkannya. Jadi saya menggesa media menghentikan spekulasi mereka,” ujarnya pada majlis berkenaan.

Terdahulu, Majoriti melaporkan KDA FC antara tiga pasukan yang dijangka tersingkir ke liga bawahan ekoran isu tunggakan gaji dengan dikatakan akan cuba menyertai Liga Perdana yang dikhabarkan bakal memeriahkan kembali saingan domestik.  

Dalam pada itu, pada majlis berkenaan, KDA FC mengumumkan syarikat telekomunikasi BE ONE Network Sdn. Bhd. sebagai rakan strategik, selain memperkenalkan tiga duta baharu mereka.

Tiga figura itu ialah penyanyi terkenal Hanifah Muhammad Hanafiah atau lebih dikenali sebagai Black serta figura media digital, Muhd Iqbal Mohd Nor (CEO Batu) dan Mohd Irshad Shafiq Mohd Tahir (CEO Biezy).

Mohd Daud berharap pengumuman duta baharu ini sedikit sebanyak mampu mempromosikan produk KDA FC dengan lebih meluas, terutama dalam usaha meningkatkan keahlian kelab penyokong pasukan itu, ‘The Wing’. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram