Budaya kerja, cuaca, pemakanan di Malaysia mungkin jadi faktor Rossi undur diri CEO MFL


  • Podium
  • Jumaat, 21 Feb 2025

Rossi dilantik sebagai CEO MFL pada September lalu dengan tiada sebarang impak besar berjaya dibawanya ke dalam organisasi tersebut. — Facebook/MFL

BARU-BARU ini, kancah bola sepak tanah air dikejutkan dengan berita kurang gembira apabila Giorgio Pompili Rossi tidak lagi menyandang tugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Perkembangan itu disahkan MFL menerusi satu kenyataan pada Khamis dengan mereka mengumumkan operasi sekretariat badan pengendali liga itu akan dikendalikan oleh Ketua Pegawai Operasinya, Mohd Shazli Shaik Mohd. 

Rossi dilantik sebagai CEO MFL sejak September tahun lalu bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Datuk Stuart Ramalingam pada 31 Ogos 2024.

BACA LAGI: Bintang Portugal sedia jadi wira, bantu Sabah padam cabaran KL City

BACA LAGI: [VIDEO] 'Bertuahnya pemain JDT', MB Johor kongsi bagaimana TMJ 'paksa' skuad Harimau Selatan lawat famili sukar di Pontian

Rossi dilantik sebagai CEO MFL sejak September tahun lalu bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Datuk Stuart Ramalingam. — Facebook/MFL

Mengulas lanjut mengenai berita mengejut itu, Prof Madya Zulakbal Abd Karim berpendapat bahawa perbezaan budaya dilihat menjadi punca utama jawatan CEO MFL kembali kosong.

"Mungkin dia nak buat cara dia tapi tak kena dengan budaya kita. Saya berpendapat bahawa pengunduran diri secara tiba-tiba Rossi ini mungkin disebabkan oleh beberapa faktor, namun yang utama bagi saya adalah perbezaan budaya kerja.

"Mungkin cara kerja yang diamalkan di tempat asalnya berbeza dengan budaya kerja di negara kita. Hal ini mungkin menyebabkan dia sukar untuk mengikut cara kerjanya sendiri dan memilih untuk berhenti atau mungkin diminta berhenti. 

"Selepas menandatangani kontrak dan mula bekerja, barulah dia menyedari bahawa situasi di sini sangat berbeza dan sukar untuk dia sesuaikan diri.

"Selain itu, faktor-faktor lain seperti cara hidup, pemakanan dan cuaca juga boleh mempengaruhi. Dia baru sahaja datang ke negara kita dan mungkin tidak dapat bekerja mengikut cara yang biasa dia lakukan," katanya kepada Majoriti.

Di samping itu, Zulakbal turut berpandangan bahawa masalah dalaman juga mungkin menyumbang keputusan Rossi tidak kekal lama sebagai CEO MFL.

"Sudah tentu ada masalah dalaman tapi kita pun tidak tahu apa yang berlaku, hanya Rossi dan yang berkaitan saja yang tahu. Kalau tiada masalah tak kan nak berhenti tiba-tiba, pasti ada masalah cumanya belum didedahkan punca masalah itu," kongsinya.

Jawatan CEO MFL kembali kosong selepas Rossi sah berpisah dengan badan pengelola liga itu. — Facebook/MFL

Menurutnya lagi, tempoh singkat lima bulan sebagai CEO MFL sememangnya memberi kesan negatif terhadap reputasi badan pengelola liga itu. 

"Pasti ada pandangan negatif datang daripada pihak luar, terutama penyokong dan peminat luar MFL, kerana kita sendiri akui bahawa prestasi kita sekarang tidak begitu memuaskan hati ramai.

"Jika kita lihat di media sosial, komen-komen banyak berkisar tentang jadual, gaji, pengurusan dan pelbagai isu lain yang timbul. Ada banyak masalah dan faktor yang menyebabkan peminat tidak puas hati.

"Pada awalnya, ketika Rossi mula-mula datang, ramai yang menyangka dia akan menjadi aset besar dalam mengendalikan liga, bahkan menyebutnya hebat dalam tugasnya.

"Namun, selepas hanya lima bulan, dia mengundurkan diri, yang tentunya menimbulkan pandangan negatif dalam kalangan masyarakat.

"Lebih-lebih lagi, MFL tidak mengeluarkan kenyataan rasmi atau sebarang pengumuman mengenai perkara ini. Tiba-tiba sahaja dia berhenti, yang membuatkan orang ramai berfikir ada sesuatu yang tidak kena. Jika keadaan positif, tentu dia tidak akan berhenti begitu sahaja.

"Namun, apa yang sebenarnya berlaku, kita masih tidak tahu. Kita perlu tunggu pengumuman rasmi daripada MFL atau penjelasan daripada Rossi sendiri untuk mengetahui lebih lanjut," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, Instagram dan Telegram