Tiga kelab Liga Super hampir 'bungkus' musim depan, pemain diarah cari kelab baharu


  • Podium
  • Khamis, 13 Feb 2025

Dari kiri: KDA FC, Sri Pahang FC dan KDN FC mengalami masalah kewangan yang serius sejak awal musim lalu.

KEMELUT kewangan dihadapi kelab-kelab tempatan kelihatan semakin meruncing kerana hampir semua pasukan yang terkesan masih menemui jalan buntu dalam menyelesaikan masalah berkenaan.

Situasi itu membuatkan masa depan Liga Super semakin kelam dengan ada penyokong beranggapan pertandingan itu akan dibubarkan sekiranya lebih banyak kelab terjerumus dalam isu berkenaan pada tahun-tahun akan datang.

Jangkaan terbabit seperti hampir menepati ramalan apabila baru-baru ini, terdapat laporan mengatakan tiga pasukan musim ini akan menarik diri selepas mengalami masalah isu tunggakan gaji.

BACA LAGI: Masih 'hijau' di era profesional, kelab Liga Super mesti dibantu elak terus hadapi masalah kewangan

BACA LAGI: KDA FC percaya Sanusi mampu beri solusi kemelut kewangan

2923911

Pemain Sri Pahang dan KDA FC tidak menerima bayaran gaji sejak beberapa bulan lalu. Facebook/KDA FC

Berdasarkan laporan Astro Arena, kelab-kelab itu ialah Kelantan Darul Naim (KDN) FC, Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Sri Pahang FC yang seperti mana diketahui bergelut dengan masalah kewangan kronik.

Menerusi perkongsian Dr Faidauz Azhar yang merupakan ejen berdaftar di bawah FIFA, ketiga-tiga pasukan itu berkemungkinan hilang daripada radar Liga Super berikutan kemelut terbabit.

"Pemain sudah diarahkan cari pasukan lain. Jika pasukan-pasukan ini menghadapi masalah seperti laporan FIFA daripada pemain import yang melibatkan kewangan, berkemungkinan pasukan tersebut sukar bertanding dan mendapatkan lesen kebangsaan.

"Terpulang kepada budi bicara Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan First Instance Body (FIB). Tiga pasukan ini mempunyai penyokong yang ramai iaitu KDN, Sri Pahang dan KDA FC. Jadi, sayanglah jika mereka tidak dapat beraksi," tulisnya.

Sebelum ini, khabar angin kuat mengatakan tiga kelab terbabit akan dihalang daripada beraksi dalam Liga Super, namun akan cuba menyertai Liga Perdana yang akan kembali diperkenalkan.

2765460

Skuad Kijang Emas tidak terkecuali daripada kemelut kewangan yang serius. Facebook/KDN FC

Bagaimanapun, sekiranya masalah dialami itu masih belum diselesaikan, terdapat kemungkinan MFL akan menyekat mereka daripada bersaing, sekali gus akan terus mengurangkan jumlah pasukan yang bertanding.

Dalam pada itu, terdapat laporan mengatakan pihak atasan skuad Kijang Emas mahu melakukan perbincangan dengan pemain yang masih terikat berhubung isu dalaman dialami.

"Saya difahamkan, sama ada betul atau tidak, ada ura-ura mengatakan pengurusan KDN yang mahu berunding dengan pemain untuk menukar terma sedia ada dalam kontrak.

"Jika perkara ini benar, saya sarankan untuk mengadakan satu perjumpaan rasmi antara pemain dan pengurusan. Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) juga boleh hadir sebagai mewakili hak pemain yang mengetahui undang-undang," tulisnya lagi.

Selepas penutupan jendela perpindahan kedua Liga Super, skuad Kijang Emas kehilangan import seperti Valdumar Augusto dan Oday Kharoub yang berang setelah kebajikan masing-masing diabaikan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram