
SABAH FC bertekad untuk mengakhiri rentetan keputusan tidak konsisten apabila bertemu Kuala Lumpur City FC dalam perlawanan Liga Super 2024 di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada Jumaat.
Skuad Sang Badak hanya mencatatkan satu kemenangan dalam lima perlawanan terakhir, iaitu ketika menewaskan Negeri Sembilan FC 2-1 pada 25 Januari lalu.
The Rhinos turut tewas 0-4 kepada Johor Darul Ta'zim pada 11 Januari dan sekadar seri 2-2 menentang Pahang FC pada 16 Februari dalam aksi Liga Super.
Sabah juga tersingkir dari separuh akhir Piala Malaysia 2024 selepas kalah 2-3 secara agregat kepada Pahang dengan keputusan seri 1-1 pada perlawanan pertama dan tewas 1-2 pada perlawanan kedua.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Pilihan tepat', fans restu peledak Terengganu ke JDT
BACA LAGI: Tak layan aksi seteru, skuad The Red Devils anjur pertandingan boling demi baiki hubungan pasukan
Namun, pemain tengah Portugal, Telmo Castanheira tetap optimis dan yakin keputusan positif akan hadir untuk Sabah.
"Pasukan menunjukkan sikap yang sangat positif dalam perlawanan terakhir. Kami bermain baik, tetapi terpaksa berpuas hati dengan seri.
"Kami kini di tangga ketiga liga dan berjaya mara ke separuh akhir Piala Malaysia. Kami yakin dapat meraih tiga mata dalam perlawanan seterusnya," kata pemain berusia 32 tahun yang bersama Sabah sejak 2023.
Pemain tengah Portugal, Telmo Castanheira tetap optimis dan yakin keputusan positif akan hadir untuk Sabah.
Sabah akan berdepan Kuala Lumpur, pasukan yang terkenal dengan organisasi taktikal kukuh.
Baru-baru ini, The City Boys mengejutkan Terengganu FC dengan kemenangan 2-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu, Jumaat minggu lalu.
Menurut Castanheira, kekuatan The City Boys itu terletak pada cara mereka bermain sebagai satu pasukan yang solid.
"Kuala Lumpur adalah pasukan yang kuat dengan ramai pemain berbakat. Kami perlu menghormati mereka sebagai satu pasukan. Kami tahu kekuatan mereka dan bersedia untuk perlawanan yang menarik," katanya.
Castanheira telah beraksi dalam 24 perlawanan untuk Sabah musim ini dan mencatatkan enam assist. Dia juga berperanan sebagai pemain tengah box-to-box dan berpuas hati dengan prestasinya.
"Saya gembira dengan prestasi saya musim ini, tetapi sentiasa ada ruang untuk penambahbaikan," tambahnya.
Sabah kini berada di tempat ketiga dalam liga dengan 33 mata dari 18 perlawanan, manakala Kuala Lumpur berada di tangga ketujuh dengan 21 mata. — The Star/T.AVINESHWARAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram