Masih 'hijau' di era profesional, kelab Liga Super mesti dibantu elak terus hadapi masalah kewangan


  • Podium
  • Selasa, 31 Dis 2024

Hanya enam kelab layak untuk terus beraksi di Liga Super kerana ada kewangan kukuh. — Facebook/Sri Pahang FC

APAKAH masa depan yang menanti buat Liga Super? Semakin hari, pelbagai cerita tidak enak didengar terutamanya berkenaan isu kewangan melibatkan kelab-kelab bertanding.

Baru-baru ini, terdapat laporan mengatakan hanya enam kelab yang disahkan 'cergas' dari segi kewangan untuk terus bertanding dalam Liga Super.

Memasuki 2025, apakah nasib kelab-kelab yang 'sakit' ini? Dan secara lebih luas gambarannya, apakah masa depan Liga Super?

BACA LAGI: Sangkut 4 bulan gaji? Fans bimbang Seladang dijangkiti ‘wabak’ membelenggu Sang Kenari

BACA LAGI: Gaji sangkut 9 bulan, pemain Kedah disaran cari kerja lain tampung keluarga

Bagi pemerhati bola sepak kebangsaan, Prof Madya Dr Zulakbal Karim, kelab-kelab yang sakit itu memerlukan bantuan daripada badan induk bola sepak seperti Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Hal ini kerana, sedar atau tidak, kelab-kelab di Malaysia masih baru dalam era profesional mereka. Jadinya, bantuan yang menyeluruh harus diberikan supaya mereka tidak goyah untuk terus kekal hidup.

WhatsApp Image 2024-12-31 at 14.51.00

Prof Madya Dr Zulakbal Karim.

"Dalam situasi ini, kelab ibarat anak sementara penganjur ibarat bapa. Ketika ini, kelab-kelab yang ada baru lagi bergelar FC, mereka pun tidak biasa. Jika anak buat salah, kesalahan terletak pada bapa yang sepatutnya mendidik.

"Didiknya dengan cara memberikan pendidikan bagaimana hendak menguruskan gaji, penajaan dan sebagainya," kata Zulakbal kepada Majoriti.

Dalam masa yang sama, pemerhati itu berpendapat MFL sebagai penganjur liga perlu bekerja lebih keras untuk memastikan Liga Super mendapat penaja utama sekali gus dapat membantu kelab-kelab terkesan.

Padanya, penajaan daripada syarikat gergasi boleh memastikan Liga Super terus 'hidup' dan wang penajaan yang ada boleh digunakan membantu kelab-kelab mengalami masalah kewangan.

470158942_18291332998237328_6488575598747847769_n

Hidup mati liga itu terletak pada penganjurnya. — Facebook/Kuala Lumpur City

"Bagi saya, badan seperti MFL perlu membantu kelab-kelab seperti seorang guru membantu pelajarnya di sekolah. Sekiranya, mereka buat silap, didik hingga betul dan bukannya biarkan saja. Jika kelab-kelab berterusan menarik diri, liga itu sendiri tidak akan ada.

"Satu lagi, MFL perlu mencari penaja besar untuk liga kita. Dari penajaan besar ini, ia dapat membantu kelab-kelab terkesan dari segi kewangan. Sudah pasti, kelab-kelab akan tetap mencari penaja mereka, tetapi bantuan daripada liga itu sendiri amat dialu-alukan," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram