
KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Giorgio Pompili Rossi diumumkan tidak lagi bersama badan pengelola Liga Super itu berkuat kuasa Khamis selepas tular mengenai hal itu sebelum ini.
Perkara tersebut diumumkan menerusi satu kenyataan dengan mengatakan peranan itu akan dipikul Ketua Pegawai Operasi (COO), Mohd Shazli Shaik Mohd dalam buat sementara waktu.
Pengumuman berkenaan sememangnya perkara mengejutkan kerana bekas Delegasi LaLiga ke Malaysia tersebut baru sahaja memikul peranan itu pada September lalu setelah pengunduran Datuk Stuart Ramalingam.
BACA LAGI: ‘Zainal Abidin, Dollah Salleh arif selok-belok dunia bola sepak’
BACA LAGI: 'Belasah Kelantan bukan ukuran Harimau Kumbang selesa atasi Kuching City'
MFL memerlukan seorang yang berkaliber untuk mengisi jawatan CEO yang ditinggalkan.
Tempoh singkat tersebut menyaksikan Rossi tidak sempat membawa sebarang impak, namun dia mencuri perhatian ramai selepas mengakui jadual liga musim ini tidak teratur.
Kenyataan dibuat pada Jumaat lalu itu membuatkan penyokong berharap perubahan dapat disaksikan bagi saingan 2025/26, namun pengundurannya menyaksikan tugas itu dipikul CEO baharu.
Persoalannya, dengan arena bola sepak tempatan ketika ini masih belum cukup stabil, calon terbaik untuk menggantikan Rossi masih belum dapat diputuskan kerana individu bakal dilantik perlu mempunyai pemahaman mendalam.
Menurut pemerhati bola sepak, Afiq Rowley, MFL perlu melantik seseorang yang berkemahiran dalam pelbagai aspek, termasuk mempunyai kepakaran membawa masuk pelabur baharu kepada organisasi.
Stanley merupakan antara calon terbaik melihat kepada impaknya buat KL City FC.
"Kriteria diperlukan pasti berdasarkan pengalaman mereka melihat corak semasa saingan Liga Malaysia dengan memahami selok belok serta masalah utama wajar diatasi.
"Selain itu, mereka juga perlu bijak mencipta jaringan bersama syarikat-syarikat besar daripada segi penajaan supaya imej liga nampak lebih berprestij," katanya kepada Majoriti.
Jelasnya lagi, salah seorang calon wajar dipertimbangkan ialah CEO Kuala Lumpur (KL) City FC, Stanley Bernard yang pernah disebut-sebut akan diberi peranan selepas pemergian Ramalingam, namun MFL memilih untuk melantik Rossi.
Saranan itu diberikan kerana Stanley mempunyai pengalaman dan pemahaman mendalam mengenai arena bola sepak kerana pernah bergelar pemain sebelum bertugas sebagai pemerhati beberapa tahun lalu.
Kini, impaknya masih dapat disaksikan bersama skuad Warga Kota dengan import-import serta penjaan dibawa masuk membuktikan dia boleh memberi kesan positif buat MFL dan Liga Super secara keseluruhannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram