'Belasah Kelantan bukan ukuran Harimau Kumbang selesa atasi Kuching City'


  • Podium
  • Ahad, 16 Feb 2025

Perlawanan Penang dan Kuching City akan berlangsung di Stadium Bandaraya pada Ahad.

AKSI Liga Super kembali dengan perlawanan membabitkan Penang FC yang akan melayani kunjungan Kuching City FC di Stadium Bandaraya Pulau Pinang pada Ahad (16 Februari).

Perlawanan itu pastinya dinanti-nantikan oleh penyokong Penang yang bangga melihat prestasi Harimau Kumbang ketika membelasah Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) dengan keputusan akhir 6-1 di Stadium Sultan Mohammad IV pada 7 Februari lalu.

Dalam perlawanan itu, penyerang import Penang, Rodrigo Dias 'mengamuk' apabila meledak empat gol selepas sekian lama dikritik ramai penyokong Harimau Kumbang.

BACA LAGI: Mungkin dapat percuma, Jalil Elias ikut jejak Chico Geraldes tak balik JDT

BACA LAGI: 'Kino sampai bila nak simpan Faisal', fans Selangor mahu Kinoshi kembalikan aura 'siuuu'

Menurut pemerhati bola sepak, Afiq Rowley, keputusan menewaskan KDN FC dengan jaringan besar tidak boleh menjadi ukuran prestasi semasa Harimau Kumbang.

Namun begitu, keputusan 6-1 itu boleh menjadi tonik tambahan buat anak-anak buah Wan Rohaimi untuk beraksi cemerlang di hadapan penyokong sendiri.

"Tidak boleh (jadi ukuran), sebab kedua-dua lawan dihadapi Penang itu baik Kuching City mahupun Kelantan memiliki latar belakang berbeza dan kekuatan.

"Cumanya, Penang mungkin sedikit bermotivasi selepas mereka merekodkan kemenangan besar lalu untuk cuba meraih keputusan positif hari ini (16 Februari)," katanya kepada Majoriti.

Tambahnya lagi, Penang juga bakal berhadapan dengan ujian getir untuk menewaskan Kuching City yang masih belum tewas sejak tiga perlawanan lalu.

"Pastinya ia suatu cabaran besar, Kuching City merupakan salah satu pasukan yang mengalami perubahan cukup ketara musim ini daripada segi kualiti permainan serta barisan para pemain.

"Apatah lagi Kuching City masih belum tewas sejak tiga perlawanan lalu serta memiliki disiplin permainan cukup baik di posisi pertahanan untuk memberi masalah buat Penang," ujarnya.

Selain aksi membabitkan Penang dan Kuching City, Sabah FC juga akan mengulangi perlawanan separuh akhir Piala Malaysia 2024/25 apabila melayani kunjungan Sri Pahang di Stadium Likas pada Ahad. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram