
KEJAYAAN Johor Darul Ta'zim (JDT) berjaya melayakkan diri ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) wajar mendapat pujian seluruh penyokong bola sepak Malaysia.
Harimau Selatan yang mudah menundukkan wakil Korea Selatan, Pohang Steelers 5-2 di halaman sendiri berjaya membawa JDT ke pusingan kalah mati selepas kali terakhir pada 2022.
Dalam perlawanan itu, jaringan Arif Aiman Hanapi berjaya mencuri tumpuan seluruh penyokong di stadium selepas memanfaatkan kesilapan penjaga gol, Yun Pyeong-gook sekali gus mudah membawa bola masuk ke dalam gawang gol lawan.
BACA LAGI: Tak sertai revolusi Harimau Malaya, Esteban Solari sah milik Club Godoy Cruz
BACA LAGI: Laungan TMJ bergema di SSI, seluruh fans Malaysia ucap tahniah buat JDT
JDT juga menurunkan sembilan pemain import untuk menamatkan perlawanan dengan keputusan 5-2 sekali gus layak ke pusingan kalah mati.
Usaha JDT membawa nama-nama besar seperti Jonathan Viera, Jese Rodriguez, Roque Mesa dan Alvaro Gonzalez itu membawa hasil yang positif buat Harimau Selatan setakat ini.
Namun begitu, sebelum nama-nama besar menyertai JDT mungkin anda lupa tentang tiga pemain import yang pernah berjuang bersama Harimau Selatan di pentas tertinggi Asia itu.
Majoriti senaraikan tiga bintang yang mungkin penyokong lupa pernah menyarung jersi Harimau Selatan di pentas ACLE:
1. Jeronimo Barrales
Enam tahun lalu, JDT sah mengikat pemain import Argentina, Jeronimo Barrales untuk melengkapkan kouta import pasukan tersebut bagi mengharungi Liga Malaysia 2017.
Tampil dengan posisi penyerang, bekas ketua jurulatih JDT, Mario Gomez melaporkan pemain import berkenaan dikenali sebagai 'Apache Assassin'.
Ketika itu, kehadiran penyerang import baharu tersebut dilaporkan menggantikan posisi Juan Martin Lucero yang dijual ke kelab Mexico, Club Tijuana.
Bukan sahaja Lucero malah skuad Harimau Selatan juga sah melepaskan pemain yang bergelar pemenang Anugerah Kasut Emas, Jorge Pereyra Diaz kerana permintaan gaji yang tinggi.
Import baharu JDT, Barrales merupakan seorang penyerang yang pernah beraksi bersama Atletico Madrid pada musim 2013/14 dan kelab Turki, Sivasspor pada 2015.
Bersama JDT, Barrales hanya terlibat dalam tiga perlawanan termasuk ACL (kini dikenali ACLE) yang mana Harimau Selatan ketika itu menang aksi kelayakan kedua menerusi sepakan penalti 6-5 selepas terikat 1-1 di tangan Bangkok United pada 2017.
2. Brian Ferreira
Brian Ferreira seorang pemain import yang menyertai JDT pada awal musim 2017.
Ketika itu pihak pengurusan JDT memaklumkan kehadiran Ferreira adalah untuk menggantikan pemain antarabangsa Singapura, Hariss Harun yang dilaporkan akan dipinjamkan keluar.
Pemain berusia 31 tahun itu antara import yang terlibat berjuang bersama JDT dalam pusingan kelayakan ACL pada 2017 ketika menentang Bangkok United dan Gamba Osaka.
Dalam kedua-dua perlawanan itu, Ferreira menjadi tonggak utama Harimau Selatan sebelum ditewaskan oleh Gamba Osaka di pusingan ketiga ACL 2017 dengan keputusan 0-3 di Jepun.
3. Bruno Soares
Pada saingan Liga Super 2017, skuad Harimau Selatan membuat pelaburan €200,000 (RM935,220) berdasarkan nilai tukaran terkini untuk membawa masuk bek tengah dari Brazil, Bruno Soares.
Keputusan itu diambil bagi membolehkan pasukan berkenaan memiliki pengganti sekiranya pemain utama, Marcus Antonio meninggalkan mereka dengan usianya sudah semakin lanjut.
Bruno hadir dengan reputasi cukup baik kerana memiliki pengalaman beraksi di sekitar Eropah dan Amerika Selatan memandangkan dia pernah menyertai beberapa kelab besar sepanjang kariernya.
Namun, harapan diletakkan di bahu bek tengah tinggi lampai itu tidak dibalas dengan baik meskipun dia memulakan karier bersama skuad Harimau Selatan dengan aksi cemerlang di Thailand semasa sesi pramusim.
Prestasinya yang terumbang-ambing itu kemudian menyaksikan pihak kejurulatihan JDT mengambil keputusan meletakkannya dalam pasukan simpanan berikutan kepulangan Marcus dari kecederaan.
Meskipun sempat menghabiskan kira-kira dua musim di Selatan tanah air, Bruno bukanlah seseorang yang membawa keuntungan buat skuad Harimau Selatan melihat kepada pelaburan dibuat JDT terhadapnya.
Bruno sempat digunakan oleh JDT dalam pusingan kedua kelayakan ACL pada 2018 sebelum JDT tewas besar 2-5 kepada Muangthong United. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram