Kelab Liga Super boleh berebut 3 bakat cemerlang KDN jika 'drama' TRW berulang


  • Podium
  • Khamis, 20 Feb 2025

Skuad Kijang Emas dikhabarkan akan meninggalkan Liga Super pada musim depan. — Facebook/KDN FC

KELANTAN Darul Naim (KDN) musim ini bermula dengan sedikit keyakinan apabila agresif dalam membawa masuk beberapa import termasuk bintang Palestin iaitu Oday Kharoub yang membawa watak penting dalam skuad Kijang Emas.

Namun, kegembiraan itu tidak bertahan lama apabila pasukan Pantai Timur berkenaan juga menjadi salah satu kelab yang dilanda dengan masalah kewangan hingga menjejaskan prestasi atas padang mereka.

Masalah kewangan itu makin berlarutan hingga menyaksikan pemain import mereka seperti seperti Valdumar Augusto dan Kharoub memilih untuk meninggalkan pasukan serta jurulatih, Park Jae Hong juga membuat perkara sama.

BACA LAGI: Tiga kelab Liga Super hampir 'bungkus' musim depan, pemain diarah cari kelab baharu

BACA LAGI: Masih 'hijau' di era profesional, kelab Liga Super mesti dibantu elak terus hadapi masalah kewangan

Kejadian ini seperti ulang tayang yang pernah berlaku kepada 'abang' KDN iaitu Kelantan FC apabila masalah kewangan juga menyebabkan skuad The Red Warrios kini terkubur terus dari Liga Malaysia (Liga M).

Lebih teruk lagi apabila KDN FC berkemungkinan hilang daripada radar Liga Super pada musim depan berikutan kemelut terbabit dengan kelab tersebut dijangka menyertai Liga Perdana yang akan kembali diperkenalkan.

Jika kemelut kewangan tersebut masih tidak diselesaikan oleh pihak pengurusan, sudah tiba masanya kelab Liga Super lain menggunakan kesempatan ini untuk mengambil khidmat pemain muda mereka.

Oleh itu, kali ini Majoriti menyenaraikan tiga pemain muda sedang meningkat naik bersama KDN yang wajar menjadi rebutan pasukan lain;

1) Fazrul Amir

fzrul

Fazrul merupakan tonggak utama KDN FC. — Facebook/KDNFC

Nama Fazrul semakin meniti di bibir penyokong selepas dia merupakan pemain pertama dari pasukan yang berpangkalan di Kelantan berhasil menyertai skuad kebangsaan sejak 2018 iaitu selepas Shafiq Shaharudin menyarung jersi Harimau Malaya.

Keputusan pengendali ketika itu, Pau Marti Vicente memanggil Fazrul ke skuad Harimau Malaya disambut baik penyokong susulan pemain muda itu mempunyai kepantasan dan skil kawalan bola yang berkualiti sebagai penyerang sayap.

Pemain berusia 24 tahun yang boleh beraksi sebagai penyerang sayap kiri dan kanan berkenaan sudah merekodkan satu jaringan gol dalam 6 perlawanan saingan Liga Super 2024/2025 dia diturunkan setakat ini.

Pasukan seperti Penang FC dan Perak FC yang mempunyai masalah di bahagian sayap boleh cuba memantau awal bakat anak jati Tanah Merah, Kelantan itu untuk dilihat jika sesuai dijadikan pemain baharu pada musim baharu nanti.

2) Asraff Aliffuddin

asraf

Asraff Aliffuddin (kanan) turut beraksi dalam saingan Piala MFL bersama KDN FC. — Facebook/KDNFC

Sesiapa yang mengikuti kejohanan Piala MFL, pasti mengenali pemain muda KDN FC iaitu Asraff Aliffuddin Yasin yang semakin mendapat perhatian penyokong ekoran kecemerlangannya membantu skuad pembangunan Kijang Emas.

Pemain yang boleh beraksi sebagai tonggak tengah menyerang dan penyerang sayap kiri itu berada dalam senarai lima penjaring terbanyak Piala MFL dengan dia merekodkan sembilan gol setakat 20 perlawanan.

Menerusi sumbangan pemain berusia 25 tahun berkenaan, Kelantan kini berada di kedudukan keempat dengan mengutip 34 mata dalam saingan Piala MFL.

Selain itu, khidmat Asraff Aliffuddin turut digunakan dalam saingan Liga Super apabila dia sudah tampil dalam 13 perlawanan.

Sebagai pemain muda yang sedang meningkat naik, Asraff Aliffuddin berpotensi menjadi aset penting untuk sesebuah kelab Liga Super. Oleh itu, kelab lain perlu pantas menghampiri KDN FC untuk membeli khidmat Asraff Aliffuddin.

3) Syahir Abdul Rashid

Syahir Abdul Rashid bukan nama besar seperti rakannya, Fazrul Amir namun pemain tengah itu merupakan watak utama yang menyelamatkan maruah KDN FC musim ini dengan mencetak gol penting dalam saingan Liga Super.

Pemain berusia 23 tahun tersebut membantu skuad Kijang Emas mendapatkan kemenangan pertama Liga Super apabila mencetak gol tunggal ketika menangan 1-0 menentang PDRM FC pada 23 Jun 2024.

Selain itu, kemenangan kedua KDN FC juga menyaksikan bekas tonggak Kelantan FC berkenaan menyumbangkan satu gol dalam kemenangan 3-2 ke atas Negeri Sembilan FC pada 27 September 2024.

Daripada bakatnya disia-siakan, Syahir boleh menjadi aset penting kepada pasukan yang sedang mengalami masalah di bahagian tengah seperti Sabah FC dan Kuala Lumpur City FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, Instagram dan Telegram