[VIDEO] Diskaun tiket tak jadi tarikan, fans Peteh tawar hati saksikan aksi Terengganu-Kuching City


  • Podium
  • Khamis, 20 Feb 2025

Tawaran harga istimewa tidak lagi menjadi tarikan buat penyokong skuad Sang Penyu untuk turun ke stadium bagi hari perlawanan. — Facebook/Terengganu FC

PRESTASI Terengganu FC jelas tidak menentu kebelakangan ini kerana mereka mencatatkan satu kemenangan dan empat kekalahan daripada lima perlawanan terakhir dalam semua pertandingan.

Rentetan keputusan kurang memuaskan itu menyaksikan skuad Sang Penyu tidak berpeluang menamatkan penantian kejuaraan selepas turut ditunjukkan jalan keluar daripada saingan Piala Shopee.

Peluang mereka untuk merebut slot ke Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two musim depan juga kelihatan sudah tertutup rapat kerana mereka kini berada 15 mata di belakang pasukan di tangga kedua, Selangor FC.

BACA LAGI: [VIDEO] Gagal muncul semifinalis, kalahkan Selangor Angels ubati duka Terengganu Marvels

BACA LAGI: Diam-diam KL City pecah rekod legenda Pahang, tamatkan kemarau menang ke atas Selangor dan Terengganu

479894968_620491707358934_3305773095283935371_n

Skuad Sang Penyu bergelut di peringkat domestik dan Asia Tenggara kebelakangan ini. Facebook/Terengganu FC

Rentak kurang meyakinkan itu sedikit sebanyak meranapkan kesungguhan penyokong untuk terus mengikuti perkembangan pasukan dalam enam perlawanan terakhir Liga Super yang akan ditempuhi.

Ini termasuk aksi menentang Kuching City FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu pada Jumaat dengan masing-masing sudah tidak bersemangat meskipun diskaun harga tiket diberikan.

"Ada potongan mahupun tiada potongan, tidak ada lagi 'mood' untuk turun ke stadium, tonton di rumah sudah lah. Liga pun tidak teratur, ambil masa lama untuk habis. Tunggu musim baharu nanti, baru ada semangat nak sokong Terengganu FC," kata Azhari Muda.

"Malas sudah nak hadir ke stadium. Terengganu hanya tahu jaringkan satu gol dan selepas itu tiada lagi jaringan kedua atau ketiga, bosan dah nak tengok. Jadual Liga Super pun sudah pelik," kata Faizal Jusoh.

"Pergilah mana-mana yang semangat untuk turun ke stadium, saya sudah tidak berasa lagi untuk hadir. Sedih tengok gaya permainan yang seperti tiada hala tuju," kata Amirul Azmen.

Berdasarkan hantaran di laman media sosial kelab, harga tiket bagi penyokong dewasa diturunkan kepada RM15 sementara kemasukan kepada peminat berusia 12 tahun ke bawah adalah percuma.

Ini merupakan satu tawaran cukup baik kerana penyokong masih boleh menyaksikan persembahan anak-anak buah Badrul Afzan Razali yang masih bercita-cita besar untuk menamatkan kempen dalam kelompok tiga teratas.

Sekiranya skuad Sang Penyu meraih tiga mata penuh ketika berdepan Kuching City FC, mereka masih kekal di kedudukan keempat carta, namun jurang dengan Sabah FC di tangga ketiga akan dikecilkan.

Selain itu, tiga mata penuh daripada pertembungan ke-19 mereka akan memberikan keselesaan berbanding Perak FC yang turut bercita-cita besar dalam menduduki kelompok tiga teratas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, Instagram dan Telegram