
PENYOKONG Terengganu FC masih menghitung hari untuk melihat kembali aksi penyerang Croatia, Ivan Mamut selepas bintang import Sang Penyu itu sudah kembali ke bumi Darul Iman pada bulan lalu.
Mamut dilaporkan mengalami kecederaan 'Tendon Achilles' di kaki kirinya memerlukan pembedahan bagi memulihkannya.
Oleh itu, Mamut dihantar ke Finland untuk menjalani rawatan tersebut.
BACA LAGI: Bantu Selangor pintas JDT II, Haykal Danish wajar diangkat lepas setia bersama Gergasi Merah
Kecederaan itu nyata mengecewakan penyokong Terengganu yang berharap dia akan mengetuai barisan serangan Sang Penyu selepas melakukannya pada musim 2023.
Selepas kehilangan Mamut, barisan kejurulatihan Terengganu terpaksa menelan kepahitan apabila tonggak pertahanan Sang Penyu pula menjadi mangsa terbaharu kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL).
Perkara itu disahkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim dalam laman Facebook peribadinya pada Rabu (19 Februari).
Hishamuddin yang turut terpilih sebagai anggota Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2025-2029 pada Kongres Tahunan FAM Kali Ke-61 itu berkongsi keadaan pemain import Terengganu, Argzim Redzovic yang mengalami kecederaan ACL dan sempat melawatnya di hospital.
"Kebetulan berada di KMI (hospital pakar), kami turut menziarahi Argzim Redzovic, pemain pertahanan Terengganu Football Club (TFC) yang baharu selesai menjalani pembedahan untuk rawatan ACL.
"Pemain kelahiran Montenegro ini mengalami kecederaan ACL dan terpaksa berehat dalam beberapa tempoh sehingga pulih sepenuhnya.
"Semoga Argzim cepat semboh dan dapat segera menjalani fisioterapi bagi memastikan kecederaan yang dialami kembali pulih," katanya.
Hishamuddin turut sempat melawat Alif Zakaria dan Suhaimi Hussin yang baru selesai menjalani fisioterapi di hospital tersebut.
"Turut bersama Mat Leh (Alif Zakaria) dan Suhaimi Hussin yang baru selesai menjalani fisioterapi di KMI. Semoga semuanya kembali semboh," jelasnya.
Dengan kehilangan tonggak baharu itu, ia sedikit sebanyak bakal mengganggu perancangan Badrul Afzan Razali yang mahu merebut tempat ketiga saingan Liga Super.
Terengganu akan melayani kunjungan Kuching City FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Jumaat (21 Februari) dengan misi untuk mengutip tiga mata penuh. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram