[VIDEO] Jadi hero Derbi Lembah Klang, Fortes teruja raih kemenangan ke-7 di bawah coach Kino


  • Podium
  • Selasa, 14 Jan 2025

Fortes kini sudah mencatatkan 15 gol dalam kesemua pertandingan buat skuad Gergasi Merah. — Facebook/Selangor FC

JARINGAN tunggal daripada Alvin Fortes dalam aksi Derbi Lembah Klang sudah cukup untuk memastikan skuad Gergasi Merah mengatasi Kuala Lumpur (KL) City FC di laman sendiri pada Ahad lalu.

Kemenangan itu turut memastikan mereka terus selesa di kedudukan kedua Liga Super dengan kelebihan sembilan mata berbanding pasukan di tangga ketiga, Sabah FC yang beraksi kurang satu perlawanan.

Malah, kejayaan di Stadium MBPJ, Selangor itu menyaksikan pasukan Lembah Klang tersebut sudah merekodkan tujuh kemenangan berturut-turut di bawah bimbingan Katsuhito Kinoshi selepas permulaan yang sedikit kekok.

BACA LAGI: Kenali Aref Al-Haj, pengganti Reziq yang bakal cabar posisi Alvin Fortes, Faisal Halim

BACA LAGI: Alvin Fortes tidak beritahu dia terlalu terbeban — Nidzam Jamil

Moral anak-anak buah pengendali kelahiran Jepun tersebut juga sudah semakin baik kerana masing-masing sudah kembali tersenyum hasil keputusan bermakna ke atas seteru terdekat mereka itu.

Antara yang pasti berpuas hati sudah tentu Fortes yang bukan sahaja menjaringkan gol kemenangan, malah mencipta beberapa serangan yang mengucar-ngacirkan benteng pertahanan pasukan pelawat.

Jelasnya, setiap sumbangan yang diberikan amat bermakna kerana dia berasa puas untuk membantu Selangor FC tanpa memikirkan jumlah jaringan sudah dicatatkan setakat ini.

"Anda pun tahu saya bukan yang kerap bercakap memandangkan disebabkan saya hanya mahu bermain. Kemenangan ke atas KL City FC dicatatkan atas usaha bersama pasukan.

"Saya gembira kerana kita sudah mencatatkan tujuh kemenangan berturut-turut di bawah coach Katsuhito. Saya tidak terlalu memberi perhatian kepada jumlah jaringan memandangkan saya hanya mahu membantu Selangor FC terus membangun dan meletakkan mereka di posisi lebih baik," katanya.

473582214_1142530094545384_3575963331762256349_n

Skuad Gergasi Merah tampak berpuas hati dengan kemenangan tersebut. Facebook/Selangor FC

Rentetan kemenangan dicatatkan skuad Gergasi Merah bermula dengan keputusan positif ke atas Cebu FC dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two pada 5 Disember.

Prestasi baik itu sekali gus membolehkan Selangor FC menghuni kedudukan kedua Liga Super selain mara ke pusingan separuh akhir MFL Challenge Cup yang akan bersambung dengan aksi menentang Penang FC pada Ahad depan.

"Ketika ini, saya berasa selesa dengan posisi dan peranan diberikan barisan kejurulatihan terhadap saya. Tugas saya adalah hanya untuk memastikan kami meraih keputusan positif," kata Fortes lagi.

Gol berdepan skuad Warga Kota itu menyaksikan bekas pemain kebangsaan Cape Verde itu sudah mencatatkan 15 gol secara keseluruhan dengan statistik itu lebih baik berbanding penyerang utama, Ronnie Fernandez.

Sekiranya prestasi baik tersebut diteruskan, pihak pengurusan Selangor FC pasti akan melanjutkan kontraknya musim depan, lebih-lebih lagi jika mereka layak ke pentas ACL Two. — The Star/T AVINESHWARAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram