
HASRAT Sabah FC untuk terus memberi tekanan kepada Selangor FC yang menduduki tangga kedua Liga Super terbantut selepas mereka hanya mencatatkan keputusan seri ketika berdepan Sri Pahang FC pada Ahad.
Persembahan kurang memuaskan ditampilkan anak-anak buah Martin Stano dalam aksi di laman sendiri tersebut apabila mereka terpaksa mengharapkan dua sepakan penalti Darren Lok untuk mengelak kekalahan.
Keputusan itu sekali gus menyaksikan skuad Sang Badak kini berada sembilan mata di belakang Selangor FC meskipun pasukan Borneo tanah air berkenaan masih memiliki kelebihan satu perlawanan.
BACA LAGI: Dua penalti selamatkan maruah The Rhinos, ikat Tok Gajah di Likas
BACA LAGI: [VIDEO] 'Salah ref', fans Sang Badak bersama ketua kampung Likas, 'backup' gol sendiri Park Tae-su
Skuad Sang Badak membawa pulang satu mata ketika berdepan Sri Pahang FC.
Bagaimanapun, momentum semasa seperti tidak berpihak kepada Sabah FC yang pasti mahu merebut slot ke Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two musim depan setelah gagal berbuat demikian bagi kempen kali ini.
Tidak cukup dengan itu, tamparan hebat turut dialami pasukan itu di luar padang apabila jumlah kehadiran penyokong semakin menurun dengan isu tersebut akan memberi kesan terhadap kesungguhan pemain.
Hal berkenaan disuarakan penyokong menerusi akaun Facebook ToraBola Officials yang hadir ketika skuad Sang Badak berdepan Sri Pahang FC dengan dia sempat mengira penonton di Stadium Likas, Sabah sebelum perlawanan bermula.
"Likas kembali sepi? Sedangkan pasukan kita sekarang sedang dalam kelompok tiga teratas Liga Super. Apa sudah terjadi?" tulisnya dengan menyertakan sebuah video pada Isnin.
Dalam klip dimuat naik tersebut, pengguna Facebook berkenaan sempat mengira penyokong yang hadir dengan hanya kira-kira 200 orang hadir bagi perlawanan terbabit.
Pada musim-musim lalu, jumlah kedatangan penyokong ke stadium berkapasiti 20,000 penonton itu jarang mengecewakan, lebih-lebih lagi ketika mereka sedang memburu slot ke Piala AFC pada 2022.
Kehadiran mereka itu sedikit sebanyak menyuntik semangat kepada skuad Sang Badak yang menamatkan saingan di tangga ketiga Liga Super, sekali gus menamatkan penantian beraksi di pentas Asia.
Bagaimanapun, sepanjang kempen kali ini, situasi berbeza disaksikan di negeri Borneo tersebut kerana keghairahan penyokong untuk mengorbankan wang dan masa tidak lagi sama.
Peluang penonton untuk hadir dan menyaksikan perlawanan di Stadium Likas masih terbuka musim ini apabila mereka akan menerima kunjungan Kuala Lumpur (KL) City FC pada Jumaat dan PDRM FC pada 5 April depan.
Selain dua aksi berkenaan, Sabah FC masih akan beraksi sebanyak tiga kali lagi dalam kempen Liga Super 2024/25 dengan kemenangan dalam semua pertembungan tersebut akan menjanjikan kelayakan ke ACL Two. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram