Makin tak sabar dengan bintang Portugal, fans Sabah anggap Telmo semakin hilang kreativiti


  • Podium
  • Isnin, 17 Feb 2025

Telmo (kiri) sudah tampil dalam 23 perlawanan dalam semua pertandingan bersama The Rhinos setakat musim ini. — Facebook/SabahFC

HASRAT Sabah FC membalas dendam ke atas Sri Pahang tidak kesampaian apabila sekadar mencatat keputusan seri 2-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada Ahad.

The Rhinos hadir dengan misi meraih tiga mata selepas gagal mara ke pentas final Piala Malaysia susulan tewas 2-3 secara agregat di tangan pasukan berpangkalan di Pantai Timur berkenaan.

Hasrat tersebut bagaimanapun tidak berhasil direalisasikan selepas Sri Pahang dapat mengumpul dua gol pada separuh masa pertama menerusi jaringan Adam Nor Azlin pada minit ke-23 dan Kpah Sean Sherman pada minit ke-43.

BACA LAGI: Park Tae-su rendah diri, mohon maaf gagal bantu Sabah FC tamatkan penantian 22 tahun

BACA LAGI: Anak jati Sabah disebut calon pengganti ideal lepas Park Tae-su sumbat gol sendiri

Manakala, pasukan kendalian Martin Stano pula bernasib baik mendapat jaringan penyamaan menerusi sepakan penalti Darren Lok pada separuh masa pertama dan pada minit ke-59 permainan.

Walaupun permainan Sabah semakin agresif namun kredit wajar diberikan kepada barisan pertahanan Sri Pahang yang cemerlang bertahan daripada menghalang pemain tuan rumah mendapatkan lebih jaringan.

Keputusan hanya berkongsi satu mata dengan Tok Gajah itu jelas tidak menggembirakan penyokong Sang Badak hingga mereka seolah-olah meletakkan kesalahan di beberapa pemain dan antara yang mendapat kritikan hebat ialah Telmo Castanheira.

Pemain kelahiran Portugal berkenaan dilihat semakin tidak kreatif dalam menggerakkan bahagian tengah. Telmo sukar mencari ruang untuk menghantar bola kepada pemain bahagian hadapan.

"Telmo semasa separuh masa kedua patut ditukar. Bikin sakit hait lihat cara permainan dia," kata penyokong The Rhinos, Gipui Saiungin.

"Sayang lagi dengan Telmo itu, dia semakin hilang idea dan kreativiti," luah penyokong Tok Gajah, Leng Zila.

Musim 2024/2025 merupakan tahun keduanya bersama Sabah FC dan ia merupakan pasukan pertama buat Telmo di Asia kerana sebelum ini dia banyak menimba pengalaman beraksi sekitar Eropah seperti Portugal dan Iceland.

Pemain berketinggian 1.85 meter itu sebenarnya merupakan graduan daripada kelab gergasi Portugal, FC Porto yang telah melahirkan banyak bintang-bintang antarabangsa seperti Joao Mario, Bruno Alves, Ricardo Carvalho, Ruben Neves dan beberapa pemain lain lagi.

Selepas hampir dua musim bersama Sabah, pemain berusia 32 tahun itu semakin mendapat krikan penyokong meskipun dia diberikan sebagai watak utama untuk mengemudi bahagian tengah skuad Sang Badak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram