
KAPTEN Sabah FC, Park Tae-su memohon maaf kepada seluruh penyokong setia Sang Badak selepas gagal membantu pasukan gergasi Borneo itu melangkah ke pentas akhir Piala Malaysia 2024 susulan kekalahan di tangan Sri Pahang FC pada Ahad minggu lalu.
Tae-su menerusi laman Instagram peribadi miliknya pada Selasa tampil merendah diri memohon maaf selepas menerima kritikan daripada peminat The Rhinos.
Pertahanan berusia 36 tahun itu melakukan kesilapan mudah dengan menjaringkan gol sendiri dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia yang menyaksikan pasukannya tewas 1-2, sekali gus kalah secara agregat 2-3 di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, Pahang.
BACA LAGI: [VIDEO] Benteng JDT tak padu mana, 3 pemain lokal selamba gegar jaring Harimau Selatan
Dalam situasi genting itu, Tae-su dilihat berusaha untuk mengeluarkan bola dari kawasan bahaya, malangnya tandukan pemain kelahiran Korea Selatan itu masuk ke gawang Sabah dan gagal diselamatkan dengan kemas oleh penjaga gol, Damien Lim.
Susulan daripada insiden itu, ramai penyokong meluahkan rasa kecewa dan menuding jari kepada Tae-su kerana menjadi punca Sabah gagal mara ke final Piala Malaysia.
Bagaimanapun, segelintir penyokong The Rhinos tetap memberikan sokongan kepada Tae-su yang juga terkenal dengan jolokan 'ketua kampung Likas', kerana memahami bahawa kesilapan tersebut adalah sebahagian daripada lumrah sukan dan tidak seharusnya menumpukan kepada kesalahan individu.
Bukan itu sahaja, peminat Sang Badak turut percaya bahawa kekalahan Sabah berpunca daripada keputusan kontroversi pengadil perlawanan, Razlan Joffri Ali.
Tae-su memohon maaf selepas gagal membantu Sabah layak beraksi di pentas final Piala Malaysia
Mereka berpendapat bahawa terdapat beberapa keputusan pengadil yang merugikan Sabah FC dan perkara itu menyumbang kepada kekalahan mereka dalam perlawanan tersebut.
"Biasalah dalam perlawanan, kadang ada kesilapan yang tidak terduga dan di luar jangka, mana ada pemain yang mahu jaringkan gol ke gawang sendiri, kami faham, move on terus Park Tae-su, yang kami tidak puas hati keputusan ref dan team VAR," kata Sejahtera Kota.
"Tiada rezeki kita Park Tae-su, kita kalah sebab ref sama VAR saja, bukan salah kau juga," kata C Rug Gertd.
"Bukan salah si Park bah juga, ini semua berpunca daripada keputusan ref yang berat sebelah," kata Johnny Molukai.
Untuk info, kegagalan Sabah untuk mara ke final Piala Malaysia itu meneruskan penantian 22 tahun Sang Badak untuk berada di pentas akhir selepas kali terakhir pada 2003. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram