Seri lagi tapi berbeza masa lalu Fandi akur kesilapan, puas hati dengan satu mata


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Isnin, 17 Feb 2025

Fandi mahu menggunakan aksi-aksi liga yang masih berbaki untuk membentuk dan menguji gandingan terbaik menjelang final Piala Malaysia pada 26 April nanti.

BOLA Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/25.

SEUSAI pertemuan dengan Sabah FC di Stadium Likas pada Ahad yang berkesudahan 2-2, Fandi Ahmad menyerlahkan perwatakan tenang di sebalik ia keputusan seri kelapan pasukannya musim ini. Namun, gelora di dalam hatinya tiada siapa yang tahu.

Masih mampu menguntum senyum ketika temu bual selepas perlawanan, pada ketua jurulatih Sri Pahang FC itu terdedah sedikit rasa ralat kerana dua mata yang keciciran di samping kemenangan sudah dirasakan milik pasukannya selepas bangkit daripada ketinggalan untuk mendahului 2-1 pada satu ketika.

BACA LAGI: [VIDEO] Selangor, Terengganu wajar buru 3 import Liga Hong Kong 'salin' import otai musim depan

BACA LAGI: 'Belasah Kelantan bukan ukuran Harimau Kumbang selesa atasi Kuching City'

Sebelum ini Fandi, yang mengakui bencikan keputusan seri hingga nama 'Sri Pahang' dipersendakan ramai, bagaimanapun akur menerima keputusan seri terbaharu itu sebagai adil buat kedua-dua pasukan.

Sabah FC – pasukan yang disingkirkan mereka 2-1 dalam masa tambahan separuh akhir kedua Piala Malaysia di Temerloh pada 2 Februari lalu – menyerlahkan dari wisel mula kesungguhan mahu ‘melangsaikan’ hutang daripada kekalahan liga.

Cuma kali ini, ketiadaan penyerang, Joao Pedro yang baru melengkapkan perpindahan pinjaman ke kelab Vietnam, Ho Chi Minh City FC, menumpulkan serangan mereka.

Selain itu, rekod pertemuan turut memihak skuad Badak itu dengan kali terakhir Sri Pahang FC meraih kemenangan di Stadium Likas ialah dalam kempen musim 2018.

Awalnya seperti menepati lakaran skrip apabila tuan rumah lebih dahulu di hadapan selepas 20 minit aksi. Sepakan penalti dihadiahkan pengadil, Khairulsyahmi Ahmad Khalidi, gara-gara Hasnul Zaim Zafri merebahkan Daniel Ting mudah disudahkan oleh Darren Lok.

Berselang tiga minit cuma, kedudukan kembali seimbang. Daripada hantaran rendah Manuel Hidalgo ke kawasan penalti, David Rowley mengumpan ke belakang untuk pemain pertahanan, Adam Nor Azlin, merembat masuk rendah dari jarak kira-kira 25 meter. Penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat, hanya mampu memerhatikan.

Seminit sebelum rehat, Kpah Sherman mengacah-acah di sebelah kanan petak penalti tuan rumah sambil Rowley menunggu betul-betul di depan pintu gol untuk menarik tumpuan Khairul Fahmi.

Sepakan lencong Sherman melewati kesemua pemain sebelum menerjah jaring. Sabah FC bagaimanapun bertuah.

Satu hantaran jauh Dainel Ting dari kawasannya sendiri menemui Lok dalam kawasan penalti. Menguisnya kepada S. Kumaahran, pemain sayap itu bagaimanapun dibentes Fadhli Shas untuk sepakan penalti.

Dan kali ini, Lok menghalakan sepakannya ke tengah-tengah ketika Zarif Irfan Hashimuddin merebahkan badan ke kiri untuk keputusan 2-2.

“Alhamdulillah kita dah bertahan (dengan baik) hari ini walaupun kita tahu kita harus boleh menang malam ini,” kata Fandi selepas perlawanan.

“Sabah agak menekan kita dalam babak kedua, kita pun mungkin buat kesilapan di belakang. Tapi saya rasa seri tu adillah. Saya gembira dengan pelaksanaan pemain kerana mereka ikut taktikal yang kita dah bincang. Tapi kita buat kesilapan sendiri yang membuahkan kedua-dua penalti,” tambahnya.

Bukan rahsia bahawa Fandi mahu turut menggunakan aksi-aksi liga yang masih berbaki untuk membentuk dan menguji gandingan terbaik menjelang final Piala Malaysia pada 26 April nanti apabila mereka akan ketiadaan kedua-dua Hidalgo dan Sherman disebabkan penggantungan.

Kekalahan 0-2 kepada Selangor FC di Kelana Jaya pada 8 Februari dan satu mata yang mampu dibawa pulang dari Kota Kinabalu pada Ahad harus masih jauh daripada memuaskan hatinya kerana ia tidak banyak membantu memperbaiki kedudukan mereka di tangga ke-11 liga dengan 17 mata selepas 18 perlawanan.

Menanti berikutnya ialah Terengganu FC (27 Feb), Kuching City FC (2 Mac), PDRM FC (8 Mac), Kedah Darul Aman FC (6 Apr) dan Perak FC (12 Apr).

“Kita pasti akan melihat kerana kebanyakan pemain barisan belakang kita hari ni pemain yang kita rombak. Baqiuddin (Shamsudin) sebenarnya pemain sayap tapi dia boleh main di bek kiri. Jadi, kita harus menunggu keadaan dia dan juga nanti kedatangan balik Alex (pemain pertahanan Aleksandar Cvetkovic).

“Mudah-mudahan Syazwan Andik akan cergas untuk perlawanan akan datang,” katanya lagi.

Ketua Jurulatih Sabah FC, Martin Stano, sebaliknya hanya dapat menyalahkan ketumpulan jentera serangan pasukannya untuk dinafikan kemenangan di tempat sendiri.

“Ya, kita mencipta banyak peluang tetapi kita gagal menyudahkannya. Jadi, kita perlu atasinya,” katanya yang gusar dengan ketiadaan Pedro dan pemain pertahanan yang gemar naik menyerang, Gabriel Peres, pada Ahad.

Sabah FC seterusnya akan berdepan dengan Kuala Lumpur City FC di Kota Kinabalu pada 21 Februari ini.

“Sudah tentu bahagian serangan (jadi kerisauan). Kita perlu sudahkan peluang agar ia memberi kelebihan kepada kita, itu bahagian yang sukar,” tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram