Dua penalti selamatkan maruah The Rhinos, ikat Tok Gajah di Likas


  • Podium
  • Ahad, 16 Feb 2025

Keputusan akhir di Stadium Likas menyaksikan kedua-dua pasukan sekadar berkongsi satu mata.

SABAH FC dan Sri Pahang FC terpaksa akur berkongsi satu mata selepas terikat 2-2 dalam saingan Liga Super 2024 pada Ahad.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah itu menyaksikan skuad kendalian Martin Stano melakukan serangan bertali arus ke kubu lawan namun tiada jaringan terhasil.

Sri Pahang pula yang dilihat kurang melakukan serangan berjaya melakukan beberapa percubaan berbahaya ke pintu gawang Sang Badak.

BACA LAGI: Tak jadi sertai revolusi HM, Tano Solari sebaliknya dilantik pengarah teknikal kelab Argentina

BACA LAGI: Kuching City, Penang sama kuat cuma striker import The Cats yang lantang dikritik

Gol yang dinanti-nantikan oleh penyokong akhirnya tiba selepas penyerang The Rhinos, Darren Lok berjaya menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-22 selepas Daniel Ting dikesan dikasari oleh pertahanan Tok Gajah.

Bagaimanapun, kegembiraan Sang Badak tidak bertahan lama apabila Adam Nor Azlin kembali menyamakan kedudukan dua minit kemudian hasil percubaan jarak jauh yang menewaskan Khairul Fahmi.

Sabah terus dihukum apabila jaringan Kpah Sherman pada minit-minit akhir babak pertama meletakkan Pahang di hadapan.

WhatsApp Image 2025-02-16 at 22.25.49

Sabah FC sekadar berkongsi satu mata dalam perlawanan bertemu Sri Pahang.

Bersambung babak kedua di Likas, Sabah terus mengorak langkah dengan melakukan serangan bertali arus ke kubu lawan namun tidak berjaya mematahkan benteng pertahanan anak-anak buah Fandi Ahmad.

Sri Pahang pula tampil dengan corak permainan berbeza apabila dilihat kerap melakukan serangan balas ke kubu tuan rumah.

Enggan kecewa di laman sendiri, Sabah sekali lagi berhasil mendapatkan jaringan apabila Darren Lok diberi tugas untuk mengambil sepakan penalti dan berhasil menyamakan kedudukan 2-2.

Kedua-dua pasukan giat mengatur serangan selepas itu bagi memastikan tiga mata berjaya diraih, namun ketumpulan jentera serangan hampakan Sabah dan Sri Pahang sehingga tamat.

Aksi di Stadium Likas berakhir dengan keputusan 2-2 memaksa Sabah dan Sri Pahang berkongsi mata. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram