
SABAH FC terpaksa menerima hakikat hanya mampu membawa pulang satu mata susulan keputusan seri 2-2 ketika menentang Sri Pahang FC di halaman sendiri dalam aksi Liga Super pada Ahad (16 Februari).
Dua jaringan penalti Darren Lok menyelamatkan maruah Sabah FC di laman sendiri selepas ketinggalan hasil jaringan Adam Nor Azlin dan Kpah Sherman.
Permainan agresif pemain Sabah menyebabkan Sri Pahang memilih untuk bertahan pada babak kedua berbanding pada separuh masa pertama yang menyaksikan pemain pelawat lebih banyak menyerang.
BACA LAGI: [VIDEO] Selangor, Terengganu wajar buru 3 import Liga Hong Kong 'salin' import otai musim depan
BACA LAGI: 'Belasah Kelantan bukan ukuran Harimau Kumbang selesa atasi Kuching City'
Kecewa dengan keputusan seri itu, segelintir penyokong Sabah berharap pihak pengurusan untuk menggantikan ketua jurulatih semasa, Martin Stano dengan individu yang lebih berpengalaman.
Dalam ruangan komen media sosial Sabah, pemain ke-12 Sang Badak mendakwa Stano tidak mempunyai pengalaman luas sebagai pengendali apabila taktikal diterapkan olehnya berbeza dengan pengendali terdahulu, Datuk Ong Kim Swee.
Menurut Muhammad Janie Abdullah, pelantikan Stano merupakan satu kesilapan oleh pihak pengurusan kerana jurulatih itu merupakan staf kecergasan Sabah sebelum memangku jawatan ketua jurulatih.
"Kesilapan pengurusan Sabah FC sendiri kerana mengambil jurulatih kecergasan sebagai ketua jurulatih. Kalau dilihat dari segi taktikal, corak permainan dan strategi memang Martin Stano masih belum layak untuk jadi 'coach' kekal Sabah.
"Dalam tiga perlawanan akhir betul-betul mengubah corak dan kombinasi Sabah dari laju jadi perlahan. Jika pengurusan Sabah masih kekalkan Martin Stano dalam jangka masa lama, tidak mustahil taring Sabah akan menurun," dakwanya.
Begitu pun, Dal Segno Sounds membidas komen Janie kerana mahu penyokong berpijak kepada realiti kerana Sabah tidak mempunyai bajet tinggi seperti pasukan-pasukan lain.
"Sabah FC duit mungkin tidak cukup untuk bayar jurulatih mahal. Stano ini boleh juga tengok (prestasi) Liga Super masih lagi kekalkan momentum dengan kemenangan.
"Kalau saya pun mahu macam pengurusan, stadium, pemain dan jurulatih macam JDT. Tapi semua itu perlukan duit," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram