
PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) membuat keputusan tegas dengan memecat pengadil Fitri Maskon daripada semua tugasan susulan prestasi lemah dalam aksi Piala MFL 2024/2025 antara Negeri Sembilan FC (NSFC) dan Selangor FC (SFC) di Stadium Tuanku Abdul Rahman dakat Paroi, Negeri Sembilan pada Khamis minggu lalu.
Keputusan itu sekali gus menjadikan Fitri Maskon menjadi pengadil pertama dipecat daripada semua tugasan oleh FAM.
Timbalan Presiden FAM Datuk S. Sivasundaram berkata, keputusan yang pertama kali dibuat itu diambil selepas perbincangan mendalam bersama kepimpinan tertinggi badan induk berkenaan.
BACA LAGI : [VIDEO] Bukan kali pertama terpalit kontroversi, Fitri Maskon pernah digantung selepas aksi Selangor-KL
BACA LAGI : Drama VAR, gol minit akhir bikin aksi dramatik JDT-Kedah bersambung di SSI
"Walaupun keputusan tegas ini dibuat dengan hati yang berat, ia perlu dijadikan pengajaran kepada semua pengadil.
"Keputusan memecat pengadil adalah tindakan pertama seumpamanya kerana sebelum ini, pengadil hanya digantung tugas. Ini satu isyarat jelas supaya pengadil lebih serius ketika menjalankan tanggungjawab di atas padang,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Jelas beliau lagi, berdasarkan laporan Penilai Pengadil, Fitri menunjukkan prestasi yang sangat lemah, sekali gus mempengaruhi keputusan perlawanan yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
"Unit Pengadil FAM turut membuat analisis perlawanan dan mendapati keputusan sepakan penalti yang diberikan oleh Fitri dalam perlawanan itu kurang tepat.
"Hasil analisis juga menunjukkan tambahan masa 15 minit yang diberikan pada akhir perlawanan adalah keterlaluan, menyebabkan perlawanan yang sepatutnya berkesudahan seri berakhir dengan keputusan berbeza.
"Ini jelas membuktikan bahawa keputusan pengadil telah mempengaruhi serta memberi impak ketara terhadap keputusan akhir perlawanan," katanya.
Pada aksi terbabit, sepakan penalti Harry Danish pada masa tambahan membolehkan SFC meraih kemenangan 2-1 ke atas NSFC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram