
AKSI penutup peringkat kumpulan Zon Timur bagi Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Pohang Steelers di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Selasa terpalit dengan kontroversi.
Pertembungan yang sepatutnya ditonton ribuan penyokong bola sepak tempatan itu dicemari insiden kurang enak didengari apabila laporan mengatakan hotel didiami pasukan pelawat menjadi kecoh susulan tindakan pihak tidak bertanggungjawab membakar mercun.
Meskipun tiada sebarang kecederaan dialami, gangguan itu menyebabkan pemain pasukan Korea Selatan tersebut tidak dapat berehat dengan cukup selepas tiba beberapa hari lalu.
BACA LAGI: Nombor plat Wilayah hangatkan konspirasi 'gangguan' mercun kem Pohang menjelang aksi lawan JDT
BACA LAGI: [VIDEO] Tak peduli nyawa, bakar mercun bunga api tengah jalan raya ancam keselamatan orang lain
Tindakan segelintir pihak tidak bertanggungjawab sebelum aksi ACL Elite antara JDT dan Pohang Steelers.
Lebih mengecewakan lagi, insiden tersebut menjadi sebutan di negara Asia Timur berkenaan selepas beberapa agensi media mereka mengutuk tindakan yang pasti menjejaskan prestasi Pohang Steelers.
Namun, mereka enggan menunding jari terhadap mana-mana pihak dengan membiarkan pihak berkuasa, termasuk AFC untuk membuat siasatan mendalam berhubung kes berkenaan.
Insiden sedemikian bukanlah perkara baharu kerana pada Jun 2023, kejadian sama pernah berlaku membabitkan Selangor FC yang dijadualkan bertemu JDT dalam aksi separuh akhir Piala FA.
Perkara itu dilaporkan salah seorang bekas petugas kelab, Hazwan Khair yang membuat luahan di media sosial peribadinya dengan mengatakan tidur mereka terganggu akibat isu terbabit.
Dalam sebuah video pendek dimuat naik, kejadian tersebut berlaku pada pukul 3 pagi dengan bunyi dan sinaran cerah daripada mercun sememangnya mengganggu waktu rehat pasukan.
Gangguan tersebut jelas memberi impak terhadap persembahan skuad Gergasi Merah yang mengalami kekalahan 0-4 kepada JDT dengan Arif Aiman Hanapi meledak hatrik pada babak pertama permainan.
Meskipun tindakan sedemikian sudah menjadi hal kebiasaan di Eropah, kelakuan sebegitu tidak sepatutnya berlaku kerana ia akan mewujudkan persepsi negatif, lebih-lebih lagi terhadap pasukan luar negara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram